Slideshow

GAGASAN MELAYU PERAK - Kearah Memertabatkan Bangsa, Agama dan Negara


Gagasan Melayu Perak (GMP) adalah sebuah persatuan bukan politik yang bertujuan untuk menyatukan orang Melayu Perak bagi mempertahan dan memperjuangkan kepentingan dan hak orang Melayu, Bahasa Melayu, Institusi Kesultanan Negeri Perak, Agama Islam dan Adat Istiadat Orang Melayu Perak. Ianya lahir dari resolusi Perhimpunan Melayu Perkasa yang dianjurkan oleh Persatuan Darul Ridzuan Di Selangor dan Wilayah Persekutuan dengan kerjasama pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan Negeri Perak pada 9hb Ogos, 2008 di Universiti Teknologi PETRONAS Tronoh. Persatuan Melayu Perak yang diberi nama Gagasan Melayu Perak (GMP) telah diluluskan pendaftarannya pada 17hb Mac 2009. Mesyuarat Agung Penubuhan GMP telah diadakan pada 20hb Jun 2009 di Hotel Heritage, Ipoh dirasmikan oleh Yang Amat Berbahagia Tun Dr. Mahathir Mohamad Mantan Perdana Menteri Malaysia.

Sunday, August 8, 2010

Pendirian Hadi Awang legakan orang Melayu

KUALA LUMPUR 8 Ogos - Pendirian Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berhubung dasar pemberian diskaun kepada bumiputera dalam pemilikan hartanah melegakan banyak pihak khususnya orang Melayu di negara ini.

Presiden Gagasan Melayu Perak (GMP), Datuk Seri Mohd. Hilmi Ismail berkata, selama ini rakyat tertunggu-tunggu pendirian sebenar Pas kerana parti itu dilihat lebih mementingkan hubungan dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP daripada menjaga kebajikan serta hak keistimewaan orang Melayu.

''Saya secara peribadi mengucapkan syukur kerana akhirnya Abdul Hadi mempertahankan hak dan keistimewaan yang ada pada orang Melayu.

''Sememangnya kenyataan Presiden Pas ini amat melegakan semua pihak,'' katanya di sini semalam.

Akhbar ini hari ini melaporkan kenyataan Abdul Hadi yang berpendapat hak dan keistimewaan orang Melayu serta bumiputera yang merupakan penduduk majoriti di negara ini perlu dikekalkan termasuk dasar pemberian diskaun dalam pemilikan hartanah.

Pada 26 Julai lalu, Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara daripada DAP, Tony Pua mencadangkan agar kerajaan memansuhkan dasar pemberian diskaun kepada bumiputera dalam pemilikan hartanah komersial dan mewah di Selangor.

Cadangannya itu mendapat sokongan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Bagaimanapun beberapa pertubuhan Melayu menentang cadangan itu, malah Pergerakan Pemuda UMNO Selayang dan Gombak membuat laporan polis meminta pihak berkuasa menjalankan siasatan dan mengambil tindakan terhadap Tony.

Dalam perkembangan sama Helmi berkata, usaha mempertahankan hak dan keistimewaan orang Melayu adalah amat wajar memandangkan masih ramai di kalangan mereka yang miskin.

Tambahnya, dasar 30 peratus pencapaian orang Melayu dan bumiputera dalam pelbagai bidang di bawah Dasar Ekonomi Baru (DEB) juga sehingga kini masih gagal dicapai.

1 comment:

  1. saya sebagai rakyat bawahan juga bersyukur dengan apa yang Presiden PAS nyatakan. jangan berhenti berdoa untuk Allah gerakkan hati pemimpin2 Melayu Islam bersatu mempertahankan hak agama, bangsa dan negara. Salam Perjuangan

    ReplyDelete