Slideshow

GAGASAN MELAYU PERAK - Kearah Memertabatkan Bangsa, Agama dan Negara


Gagasan Melayu Perak (GMP) adalah sebuah persatuan bukan politik yang bertujuan untuk menyatukan orang Melayu Perak bagi mempertahan dan memperjuangkan kepentingan dan hak orang Melayu, Bahasa Melayu, Institusi Kesultanan Negeri Perak, Agama Islam dan Adat Istiadat Orang Melayu Perak. Ianya lahir dari resolusi Perhimpunan Melayu Perkasa yang dianjurkan oleh Persatuan Darul Ridzuan Di Selangor dan Wilayah Persekutuan dengan kerjasama pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan Negeri Perak pada 9hb Ogos, 2008 di Universiti Teknologi PETRONAS Tronoh. Persatuan Melayu Perak yang diberi nama Gagasan Melayu Perak (GMP) telah diluluskan pendaftarannya pada 17hb Mac 2009. Mesyuarat Agung Penubuhan GMP telah diadakan pada 20hb Jun 2009 di Hotel Heritage, Ipoh dirasmikan oleh Yang Amat Berbahagia Tun Dr. Mahathir Mohamad Mantan Perdana Menteri Malaysia.

Friday, June 11, 2010

Laksanakan sebaiknya perancangan kerajaan

IPOH 11 Jun - Semua agensi kerajaan diminta melaksanakan sebaik-baiknya perancangan membangunkan bumiputera di bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10).

Presiden Gagasan Melayu Perak (GMP), Datuk Seri Mohd. Hilmi Ismail (gambar) berkata, tiada gunanya sesuatu perancangan yang begitu baik tetapi pelaksanaannya tidak selari dengan apa yang dihasratkan kerajaan.

"Kita minta semua jentera kerajaan dari atas hingga ke bawah melaksanakan sebaik-baiknya agenda pembangunan bumiputera seperti yang dihasratkan kerajaan.

"Kerajaan juga mesti ada kekuatan politik melaksanakannya tanpa rasa risau atau tunduk kepada tekanan pihak tertentu kerana hak-hak bumiputera sudah termaktub dalam Perlembagaan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas jaminan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa agenda pembangunan bumiputera akan terus diberi penekanan di bawah RMK-10 yang diumumkan semalam.

Sebagai bukti komitmen kerajaan, Perdana Menteri mengumumkan penubuhan majlis peringkat tertinggi diketuai beliau sendiri yang akan berfungsi merancang, menyelaras dan memantau pelaksanaan agenda tersebut.

Penubuhan majlis itu satu daripada lima inisiatif strategik yang dikenal pasti untuk meningkatkan penyertaan masyarakat bumiputera dalam ekonomi negara.

Mohd. Hilmi yang juga Ahli Jawatankuasa Pemandu Majlis Perundingan Melayu (MPM) berkata, intipati membantu bumiputera yang terkandung dalam RMK-10 turut diambil kira dalam merangka Model Baru Ekonomi (MBE).

Katanya, MBE yang sedang diusahakan oleh kerajaan itu mestilah bersesuaian dengan RMK-10.

"MPM menyambut baik dan meminta supaya intipati RMK-10 diambil sebagai kandungan positif tindakan dijanjikan oleh kerajaan apabila MBE diumumkan," katanya.