Slideshow

GAGASAN MELAYU PERAK - Kearah Memertabatkan Bangsa, Agama dan Negara


Gagasan Melayu Perak (GMP) adalah sebuah persatuan bukan politik yang bertujuan untuk menyatukan orang Melayu Perak bagi mempertahan dan memperjuangkan kepentingan dan hak orang Melayu, Bahasa Melayu, Institusi Kesultanan Negeri Perak, Agama Islam dan Adat Istiadat Orang Melayu Perak. Ianya lahir dari resolusi Perhimpunan Melayu Perkasa yang dianjurkan oleh Persatuan Darul Ridzuan Di Selangor dan Wilayah Persekutuan dengan kerjasama pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan Negeri Perak pada 9hb Ogos, 2008 di Universiti Teknologi PETRONAS Tronoh. Persatuan Melayu Perak yang diberi nama Gagasan Melayu Perak (GMP) telah diluluskan pendaftarannya pada 17hb Mac 2009. Mesyuarat Agung Penubuhan GMP telah diadakan pada 20hb Jun 2009 di Hotel Heritage, Ipoh dirasmikan oleh Yang Amat Berbahagia Tun Dr. Mahathir Mohamad Mantan Perdana Menteri Malaysia.

Sunday, May 30, 2010

Buku merah MBE tidak sesuai

IPOH 30 Mei – Buku merah Model Baru Ekonomi (MBE) yang disediakan oleh pakar-pakar dari Majlis Penasihat Ekonomi Negara (Mapen) sebelum ini tidak boleh digunapakai kerana ia mengetepikan agenda Melayu, kata Presiden Gagasan Melayu Perak (GMP), Datuk Seri Mohd. Hilmi Ismail.

Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Pemandu Majlis Perundingan Melayu (MPM) berkata, buku merah itu mengkhianati orang Melayu kerana hanya dua kali menyebut perkataan bumiputera di dalamnya.

‘‘Ia jelas menunjukkan tiada ayat atau kenyataan yang menunjukkan agenda Melayu diambil kira, sedangkan hak-hak istimewa orang Melayu telah dijamin dalam Perlembagaan dan oleh itu, ia menyalahi Perlembagaan.

‘‘Sehubungan itu, Kongres Ekonomi Bumiputera anjuran MPM semalam menolak bulat-bulat buku merah itu dan kita menggantikannya dengan 31 resolusi yang kita sampaikan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, semasa berucap merasmikan Majlis Penutupan Kongres Ekonomi Bumiputera anjuran MPM di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan MBE masih belum dimuktamadkan.

Beliau berkata, cadangan MBE bukan bermaksud kerajaan mengetepikan agenda Melayu dan bumiputera tetapi ia merupakan cadangan daripada pakar-pakar untuk menjana pertumbuhan ekonomi negara supaya mampu bersaing di peringkat dunia.

Mohd. Hilmi yang juga Timbalan Pengerusi Kongres Ekonomi Bumiputera berkata, panel-panel Melayu dalam Mapen yang menggubal buku merah itu juga mengkhianati orang Melayu.

Katanya, mereka sepatutnya mengemukakan fakta-fakta mengenai kontrak sosial dan sejarah pembentukan negara kepada pakar-pakar luar negara yang terlibat menggubal buku tersebut.

‘‘Saya tidak salahkan pakar-pakar dari luar kerana mereka tidak melihat kepada sejarah terbentuknya Malaysia tetapi hanya dari sudut global,” katanya sambil menyatakan pihaknya menyambut baik kenyataan Perdana Menteri mengenai MBE.

Dalam pada itu, beliau menyeru semua orang Melayu supaya membaca 31 resolusi tersebut yang disiarkan oleh akhbar Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia hari ini dan esok.

Katanya, resolusi itu perlu difahami oleh orang Melayu kerana ia menyatakan hala tuju sebenar negara ini dan usaha untuk memajukan ekonomi dan sosial orang Melayu dalam pelbagai bidang.

‘‘MPM juga mengucapkan terima kasih atas peranan Utusan Malaysia yang memberi liputan menyeluruh dalam isu ini dan ini sesuai dengan peranan akhbar itu sebagai lidah rasmi orang Melayu.

‘‘Pada pandangan saya, tiada akhbar lain di Malaysia yang memperjuangkan hak Melayu melainkan Utusan Malaysia,” katanya.


Thursday, May 27, 2010

Pendekatan perlu diubah

PATUTKAH keadilan sosial dan pengagihan kekayaan negara dibuat mengikut nisbah penduduk berdasarkan kaum?

Sehubungan itu, layakkah kaum bumiputera mendapat 67 peratus kekayaan negara sementara 33 peratus lagi dikhususkan untuk bukan bumiputera?

Ketetapan seperti ini perlu penilaian dan dipertimbangkan sedalam-dalamnya ketika merumus perkara-perkara penting dalam dasar Model Baru Ekonomi (MBE) yang bakal dibentangkan tidak lama lagi.

Justeru, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu, pakar-pakar ekonomi dan ahli akademik perlu hadir pada Kongres Ekonomi Bumiputera, Sabtu ini untuk sama-sama membincangkan pelbagai cadangan bagi memantapkan MBE sebelum dilaksanakan kerajaan.

Kongres Ekonomi Bumiputera bertujuan membincangkan MBE secara khusus ini dianjurkan oleh Majlis Perunding Melayu (MPM) bertempat di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur.

Kongres sehari itu penting bagi mencari penyelesaian terhadap masalah yang dihadapi oleh bumiputera dalam meningkatkan ekonomi mereka.

Sebelum ini, semua 96 NGO yang bergabung di bawah MPM digalakkan untuk menganjur perbincangan dan kajian dalam pelbagai bentuk seperti forum, seminar meja bulat dan sebagainya mengenai MBE.

NGO-NGO ini diharap dapat menyediakan usul-usul yang dianggap penting dan seterusnya dikemukakan kepada urus setia MPM untuk dinilai oleh Jawatankuasa Penapis bagi membuat kesimpulan berbentuk memorandum dan sebagainya, di bawah nama MPM.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan menutup Kongres Ekonomi Bumiputera yang bakal membincangkan langkah memperkasakan ekonomi bumiputera dalam Model Ekonomi Baru (MEB) pada 29 Mei ini.

Menurut Ahli Jawatankuasa Pemandu Majlis Perundingan Melayu (MPM), Datuk Ibrahim Ali, pada kongres sehari itu Najib akan menerima memorandum yang mengandungi resolusi kongres yang akan dijadikan input ketika penggubalan MBE.

Sesi pagi kongres akan dimulakan dengan ucaptama bertajuk "Agenda Bumiputera Di Dalam MEB" yang akan disampaikan oleh Pengerusi Majlis Penasihat Ekonomi Negara (MPEN), Tan Sri Amirsham A. Aziz.

"Ucaptama ini akan diulas oleh pakar dalam pelbagai bidang termasuk Senator Datuk Akbar Ali dan bekas Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi (EPU), Datuk Halipah Esa.

"Ahli panel lain ialah Pengurus Besar Yayasan Kajian dan Pembangunan Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Rajini Ramlan dan Pensyarah Kanan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Dr. Mohd. Ridhuan Tee Abdullah," kata Ibrahim.

Ibrahim yang juga Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) berkata, sesi sebelah petang akan membincangkan segala cadangan yang dibuat oleh 100 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu bagi memperkasakan ekonomi bumiputera.

"Cadangan ini adalah hasil daripada input yang diperoleh NGO terbabit ketika menganjurkan wacana, bengkel, meja bulat dan seminar sebelum ini.

"Segala cadangan ini akan menjadi resolusi kongres yang akan dimuatkan dalam memorandum khas yang bakal diserahkan kepada Perdana Menteri yang menutup kongres pada sebelah malam," katanya.

Menurut pemerhati ekonomi, Mohammad Ismail, Kongres Ekonomi Bumiputera amat bertepatan diadakan di saat ramai yang membincangkan soal pemilikan ekuiti syarikat yang tidak seimbang dan pemilikan premis perniagaan untuk bumiputera yang tertinggal agak jauh iaitu hanya 15 peratus. Ia juga bolehlah diibaratkan sebagai 'perencah' dalam menjayakan MBE.

"Apa yang dinantikan oleh rakyat khususnya bumiputera dan Melayu adalah apakah hasil daripada Kongres yang dijalankan ini. Apakah hasilnya sehebat Kongres yang pertama pada tahun 1965 dahulu sehingga tertubuhnya Majlis Amanah Rakyat (Mara)?

"Forum ini perlu dimanfaatkan sebaik-baiknya bagi membincangkan kedudukan, penglibatan dan prestasi bumiputera dalam bidang perniagaan dan penguasaan ekonomi seterusnya dapat menghasilkan satu resolusi yang membantu survival bumiputera," kata Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan Perniagaan, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Perlis.

Secara ringkas, kata Mohammad ada beberapa perkara yang perlu diberi perhatian. Pertama, kita perlu menerima hakikat yang kita perlu melahirkan lebih ramai 'jaguh' di kalangan Melayu dan bumiputera. Saban tahun kita mengeluarkan senarai kedudukan orang terkaya di Malaysia oleh beberapa agensi. Namun, hanya dua atau tiga nama sahaja yang dicatat daripada kalangan Melayu setiap tahun.

"Paling menyedihkan bila senarai dikecilkan kepada 10 terkaya, tinggallah satu nama. Apakah kita sudah boleh berbangga dengan satu atau dua nama sahaja?

"Kongres perlu berbincang untuk melahirkan lebih ramai 'jaguh' usahawan di kalangan Melayu dan bumiputera. Bayangkan tiga bulan lagi kita akan menyambut kemerdekaan yang ke-53 tapi itulah pencapaian dan kedudukan kita hari ini," kata Mohammad.

Keduanya, walaupun nampak remeh tapi hakikatnya kita masih dibelenggu 'penyakit' lama, iaitu sikap ingin cepat kaya. Lihat saja berapa ramai orang kita yang menjadi mangsa dengan program yang kononnya akan menjadikan mereka kaya ekpsres. Ternyata yang ramai menjadi mangsa adalah orang kita, yang kita panggil bumiputera dan Melayu.

Penyakit ini perlu dicegah daripada menular dalam kehidupan bumiputera. Sikap tidak yakin pada keupayaan sendiri juga merupakan salah satu penyakit lama yang masih menebal. Satu program bersepadu perlu digerakkan untuk mengubati penyakit-penyakit ini.

Barangkali kata Mohammad, satu unit khas 'National Entrepreneurship Institution' yang boleh mengambil peranan dalam pembanguan usahawan bumiputera perlu diwujudkan.

Ketiganya, mungkin Kongres perlu juga memberi perhatian untuk membincangkan tentang cadangan yang dibuat oleh Konvesyen Usahawan Melayu 2010 baru-baru ini yang mencadangkan Mara yang merupakan sebuah agensi kerajaan yang membantu dan membimbing bumiputera menjadi usahawan, dinaik taraf dan diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Ini adalah penting untuk Mara kembali 'bertaring' dalam membantu usahawan bumiputera. Setelah sekian lama Mara terbukti berjaya melahirkan usahawan bumiputera yang berjaya dan juga ramai cerdik pandai dalam bidang akademik, satu transformasi perlu dilakukan.

Jika kita menghayati antara bait-bait terakhir puisi Sasterawan Negara Datuk Usman Awang, jelas harapan kita kepada Mara begitu tinggi sekali...

Mungkinkah bakal tiba Kongres Ekonomi Bumiputera

Penyelarasan jalur wawasan dua ribuan

Menilai kembali keberkesanan dan

Amanah rakyat yang dipahatkan.

Keempatnya, menurut Mohammad ialah pendekatan lama dalam membantu usahawan perlu diubah. Tidak cukup sekadar melancarkan kempen dan slogan. Sebaliknya usahawan-usahawan kecil di kampung-kampung perlu 'dicari' dan dibantu sepenuhnya untuk meningkatkan perniagaan mereka. Mungkin sudah ada yang dibantu tetapi hakikatnya masih ramai lagi yang terkontang-kanting bertahun-tahun menjalankan perniagaan dengan cara lama.

Akhir sekali, sudah sampai masa kita keluar dari kepompong, usah kita riuh rendah dengan hanya sebiji telur yang dikeluarkan sedangkan 'itik-itik' dan 'penyu-penyu' lain sibuk mengeluarkan telur yang banyak tanpa riuh rendah.

"Kita perlu bangkit dari dibuai mimpi indah, jangan menjadi tetamu di rumah sendiri, jangan menjadi penumpang kereta sendiri. Jangan sampai mengalami nasib menang sorak tapi kampung tergadai," kata Mohammad.

(petikan dari ahkbar Utusan Malaysia 27.5.2010