Slideshow

GAGASAN MELAYU PERAK - Kearah Memertabatkan Bangsa, Agama dan Negara


Gagasan Melayu Perak (GMP) adalah sebuah persatuan bukan politik yang bertujuan untuk menyatukan orang Melayu Perak bagi mempertahan dan memperjuangkan kepentingan dan hak orang Melayu, Bahasa Melayu, Institusi Kesultanan Negeri Perak, Agama Islam dan Adat Istiadat Orang Melayu Perak. Ianya lahir dari resolusi Perhimpunan Melayu Perkasa yang dianjurkan oleh Persatuan Darul Ridzuan Di Selangor dan Wilayah Persekutuan dengan kerjasama pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan Negeri Perak pada 9hb Ogos, 2008 di Universiti Teknologi PETRONAS Tronoh. Persatuan Melayu Perak yang diberi nama Gagasan Melayu Perak (GMP) telah diluluskan pendaftarannya pada 17hb Mac 2009. Mesyuarat Agung Penubuhan GMP telah diadakan pada 20hb Jun 2009 di Hotel Heritage, Ipoh dirasmikan oleh Yang Amat Berbahagia Tun Dr. Mahathir Mohamad Mantan Perdana Menteri Malaysia.

Thursday, October 7, 2010

Majlis Raja-Raja perlu nyatakan pendirian

IPOH 7 Okt. – Majlis Raja-Raja yang dijangka mengadakan persidangan dalam tempoh terdekat, perlu menyatakan pendirian berhubung kedudukan dan keistimewaan orang Melayu.

Presiden Gagasan Melayu Perak (GMP), Datuk Seri Mohd. Hilmi Ismail berkata, Majlis Raja-Raja wajar mengambil pendekatan tersebut dalam usaha memastikan tiada pihak mengambil kesempatan dengan sewenang-wenangnya.

Kata beliau, apa yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan ketika ini adalah hasil perjanjian Raja-Raja Melayu dengan penjajah British sebelum tercetus persetujuan menerima kehadiran kaum lain di negara ini.

“Kita sentiasa menantikan pendirian Majlis Raja-Raja tentang isu kedudukan dan hak orang Melayu ini kerana raja-raja adalah pihak yang bertanggungjawab memberi laluan kepada kemerdekaan Tanah Melayu.

“Kerana kesanggupan baginda semua menyerahkan sedikit kuasa yang ada, barulah usaha Tunku Abdul Rahman untuk mendapatkan kemerdekaan negara daripada British menjadi kenyataan,” katanya di sini hari ini.

Mohd. Hilmi berkata, titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar adalah tepat dan berasas ketika baginda membidas sikap segelintir pihak yang ghairah memperjuangkan kaum sendiri dan mempertikaikan hak keistimewaan orang Melayu seperti termaktub dalam Perlembagaan.

Malah, katanya, teguran dan kebimbangan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah; Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah serta Sultan Selangor, Sultan Sharifuddin Idris Shah berhubung masa depan orang Melayu sebelum ini harus dinyatakan selaras dengan pendirian Majlis Raja-Raja.

Jelas beliau, sebagai payung orang Melayu, Majlis Raja-Raja memainkan peranan besar dalam menggerakkan usaha penyatuan masyarakat Melayu berlainan ideologi politik di negara ini.

Monday, October 4, 2010

Azmin bukan aset perjuangan rakyat

Presiden Gagasan Melayu Perak (GMP), Datuk Seri Mohd. Hilmi Ismail amat kecewa dan tersinggung dengan kenyataan Azmin itu dan yakin perasaan itu dikongsi bersama oleh beratus lagi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berteraskan Melayu di negara ini.

Tegas beliau, NGO Melayu di negara ini langsung tidak mengharap dan memerlukan sokongan PKR atau parti politik lain untuk menggerakkan agenda masing-masing.

“Punca utama NGO muncul seperti cendawan selepas hujan selepas Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-12 lalu adalah kerana mereka hilang keyakinan terhadap peranan parti-parti politik membela nasib Islam dan Melayu.

“Jika kita harap kepada UMNO atau PKR, sudah tentu kami (NGO) tidak akan wujud dengan banyaknya. Mengapa semasa era bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad NGO Melayu tidak begitu banyak? Jawapannya adalah kerana beliau dan kerajaan menjaga kepentingan agama dan bangsa,” katanya.

Katanya, PKR tidak boleh memandang rendah kekuatan NGO kerana pada pilihan raya umum akan datang tidak mustahil ahli-ahlinya akan menjadi salah satu penentu kepada kekalahan dan kemenangan mana-mana calon.

Mohd. Hilmi juga menyangkal tohmahan Azmin bahawa Dr. Mahathir turut memperjuangkan perkauman sempit kerana berselindung di sebalik Perkasa.

“Dr. Mahathir tidak salah dan rasis, malah sejak dahulu lagi beliau konsisten mempertahankan kepentingan Melayu dan kaum lain di negara ini.

“Jasa beliau kepada negara ini serta semua kaum terlalu besar dan langsung tidak terjangkau oleh Azmin, bezanya seperti langit dan bumi,” katanya.