Slideshow

GAGASAN MELAYU PERAK - Kearah Memertabatkan Bangsa, Agama dan Negara


Gagasan Melayu Perak (GMP) adalah sebuah persatuan bukan politik yang bertujuan untuk menyatukan orang Melayu Perak bagi mempertahan dan memperjuangkan kepentingan dan hak orang Melayu, Bahasa Melayu, Institusi Kesultanan Negeri Perak, Agama Islam dan Adat Istiadat Orang Melayu Perak. Ianya lahir dari resolusi Perhimpunan Melayu Perkasa yang dianjurkan oleh Persatuan Darul Ridzuan Di Selangor dan Wilayah Persekutuan dengan kerjasama pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan Negeri Perak pada 9hb Ogos, 2008 di Universiti Teknologi PETRONAS Tronoh. Persatuan Melayu Perak yang diberi nama Gagasan Melayu Perak (GMP) telah diluluskan pendaftarannya pada 17hb Mac 2009. Mesyuarat Agung Penubuhan GMP telah diadakan pada 20hb Jun 2009 di Hotel Heritage, Ipoh dirasmikan oleh Yang Amat Berbahagia Tun Dr. Mahathir Mohamad Mantan Perdana Menteri Malaysia.

Monday, January 10, 2011

Ambil tindakan segera terhadap Shuhaimi - Mohd. Hilmi

IPOH 10 Jan. - Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Jabatan Peguam Negara perlu mengambil tindakan segera terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Muda, Shuhaimi Shafie yang mengeluarkan kenyataan biadab terhadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah baru-baru ini.

Ketika membuat desakan tersebut, Presiden Gagasan Melayu Perak (GMP), Datuk Seri Mohd. Hilmi Ismail berkata, jika tidak dibendung dari awal, kenyataan Shuhaimi itu dibimbangi mempunyai agenda menghasut rakyat ke arah pemerintahan republik.

"Pendapat pakar-pakar perundangan, peguam dan cendekiawan universiti mengatakan memang patut Shuhaimi diambil tindakan di bawah Akta Hasutan kerana buktinya sudah ada dan tersiar menerusi blognya.

"Perkara ini sudah jelas dan bukan lagi samar-samar atau tidak pasti. Beliau tidak boleh lari," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Shuhaimi dalam blognya baru-baru ini didakwa berkata, pelantikan Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Selangor tidak memerlukan perkenan Sultan Selangor, sebaliknya boleh dilakukan di bawah kuasa Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Bagaimanapun, beberapa hari kemudian entri berkaitan telah dikeluarkan dari blog tersebut.

Menurut Mohd. Hilmi, sekiranya tindakan tidak diambil atau dilengahkan ke atas ADUN Sri Muda itu, ia menunjukkan keadilan tidak ditegakkan.

Katanya, kerajaan mungkin tidak mengambil tindakan sehingga kini atas pertimbangan politik kerana bimbang disalah tafsir akan berlaku ketidakadilan.

"Namun, dalam perundangan sesebuah negara, sekiranya seseorang itu melanggar undang-undang, dia perlu dihukum walaupun di kalangan pemerintah sendiri," katanya.

Tambah beliau, sikap biadab terhadap sultan seperti itu pernah ditunjukkan oleh wakil-wakil rakyat pakatan pembangkang di Perak selepas Pilihan Raya Umum 2008.

Begitupun, sama seperti Shuhaimi, mereka tidak didakwa sehingga kini.

"Tidak pernah berlaku dalam sejarah, rakyat yang bersikap sedemikian rupa ke atas sultan tidak dihukum," tegasnya.

Mohd. Hilmi berkata, perkembangan semasa menunjukkan ramai tidak berpuas hati dengan kebiadaban Shuhaimi, apatah lagi tiada tindakan diambil terhadapnya.

"Sekiranya, tidak diambil tindakan sewajarnya, mungkin ada lebih banyak demonstrasi selepas ini dan saya bimbang ia akan merebak menjadi lebih besar sehingga boleh menimbulkan keadaan yang tidak tenang," katanya.

Thursday, December 9, 2010

Kebenaran dalam ketuanan Melayu

Oleh NORALI NORDIN

Hujung minggu lepas secara rasminya Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengisytiharkan perang untuk menghapuskan konsep "ketuanan Melayu". Umpama meludah ke langit terkena ke muka sendiri, begitulah perumpamaan paling tepat untuk mendefinisi tokoh-tokoh utama PKR yang melaungkan semboyan perang itu.

Manakan tidak, Presiden PKR, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail adalah isteri kepada bekas Timbalan Perdana Menteri Malaysia dan bekas Timbalan Presiden Parti Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO). Timbalan Presiden PKR yang baru ditabal pula adalah setiausaha kepada bekas Timbalan Perdana Menteri Malaysia dan bekas Timbalan Presiden UMNO.

Tidakkah ia suatu tindakan yang paradoks, manusia sama yang dahulunya melaungkan keprihatinan kepada konsep "ketuanan Melayu" malah pernah pada satu Mesyuarat Agung UMNO bersama-sama pemimpin UMNO yang lain bersumpah darah untuk memperjuangkan konsep "ketuanan Melayu". Kini orang yang sama membunyikan semboyan untuk menghapuskan konsep ciptaan mereka.

GMP mahu menyeru kepada rakan-rakan bangsa Cina dan India di Malaysia supaya duduk dan berfikir sejenak. Betul sekarang pemimpin-pemimpin ini nampak agresif memperjuangkan nasib bangsa anda. Namun, cuba anda semua fikir jika mereka sanggup menderhaka terhadap perjuangan bangsa sendiri, tidak mustahil mereka meninggalkan pula bangsa anda demi mengejar kuasa dan impian yang lain.

Khalayak terutama bangsa Cina dan India harus faham bahawa tidak boleh dinafikan Penasihat PKR mempunyai karisma tersendiri apabila berucap di atas pentas-pentas politik. Beliau begitu menguasai teknik dan taktik perhubungan awam.

Hakikatnya seorang pemimpin hebat bukan disukat dari segi persembahan beliau berucap di atas pentas politik. Ia bukan disukat dari segi kebolehan beliau mengucapkan janji-janji kosong. Ia juga bukan disukat dari segi gaya yang anggun. Itu bukan asas-asas pemimpin hebat, itu adalah asas seorang kasanova. Seorang pemimpin hebat terutama di dalam sebuah negara seperti Malaysia yang berbilang bangsa perlu wajib bercakap benar berdasarkan undang-undang yang diterimapakai negara ini.

Ini adalah kerana jika pemimpin Malaysia bersikap seolah-olah seperti sesumpah, maka hubungan di antara bangsa-bangsa di Malaysia akan menjadi tegang dan mengancam keselamatan kita semua.

Apakah yang dimaksudkan dengan pemimpin wajib bercakap benar ? Bercakap benar dalam konteks kenegaraan Malaysia adalah menjunjung bahawa Perlembagaan Persekutuan adalah undang-undang tertinggi negara dan wajib bagi pemimpin-pemimpin ini mempertahankan Perlembagaan Persekutuan selagi nyawa dikandung badan sehingga ke titisan darah terakhir.

Apakah kandungan Perlembagaan Persekutuan? Di antara asas penting Perlembagaan Persekutuan ialah di bawah Perkara 3, bahawa Islam adalah agama Persekutuan. Di bawah Perkara 32 (1) bahawa Kepala Utama Persekutuan adalah Yang di-Pertuan Agong yang dilantik di antara Sultan-Sultan yang menganggotai Majlis Raja-Raja.

Di bawah Perkara 152, bahawa Bahasa Melayu adalah Bahasa Rasmi Malaysia. Dan, di bawah Perkara 153, bahawa orang-orang Melayu di beri hak keistimewaan berbanding bangsa Cina dan India. Di samping itu, di bawah Perkara 89, terdapat peruntukan mengenai tanah Rezab Melayu dan lain-lain peruntukan yang melindungi orang-orang Melayu.

Jika diperhatikan kesemua Perkara-perkara yang membentuk teras Perlembagaan seperti yang tersebut di atas adalah bertunjangkan bangsa Melayu. Ia tidak boleh dipinda walaupun dengan undi 2/3 Parlimen kerana menurut Perkara 159 (5) ia memerlukan kebenaran Majlis Raja-Raja Melayu.

Mengapakah terdapat peruntukan yang bertujuan untuk melindungi hak-hak Melayu? Perkara ini terjadi kerana semasa pembentukan Persekutuan Tanah Melayu (sebelum ditukar nama kepada Malaysia), Suruhanjaya Reid iaitu pihak yang bertanggungjawab menulis Perlembagaan Persekutuan, mengakui bahawa Semenanjung Tanah Melayu adalah milik bangsa Melayu. Kerana itulah juga namanya disebut sebagai Semenanjung Tanah Melayu. Keseluruhan perkara-perkara yang diperincikan oleh Suruhanjaya Reid melalui Perlembagaan Persekutuan bagi melindungi orang-orang Melayu sebenarnya adalah sebagai timbal balas kepada kesanggupan Raja-Raja Melayu memberikan kewarganegaraan secara jus soli kepada sejuta orang bangsa Cina dan India yang diambil sebagai pekerja oleh pihak British.

Secara dasarnya, para pekerja ini apabila habis kontrak bekerja maka mereka wajib dibawa balik oleh British ke negara masing-masing. Namun oleh kerana pada waktu itu, perang dunia kedua baru tamat dan negara-negara asal mereka tidak mahu menerima para pekerja ini kembali akibat kegawatan ekonomi selepas perang, maka pihak British mencari jalan untuk meninggalkan mereka di Tanah Melayu.

Sepatutnya, pihak British membawa kesemua pekerja ini ke England dan memberi kerakyatan British. Namun, hakikatnya British tidak mampu berbuat demikian kerana negara mereka juga rosak teruk akibat perang. Niat British di dalam perkara ini adalah jelas apabila mereka mendraf Malayan Union sebaik sahaja perang dunia kedua tamat.

Melalui Malayan Union British memaksa penduduk Tanah Melayu menerima bulat-bulat para pekerja berbangsa Cina dan India sebagai warganegara tanpa apa-apa balasan. Orang-orang Melayu membantah sekeras-kerasnya.

Akhirnya, apabila rundingan kemerdekaan di adakan dan orang-orang Melayu melalui UMNO memberikan syarat-syarat yang tertentu maka barulah para pekerja ini dapat diterima sebagai warganegara Tanah Melayu. Proses ini boleh didapati melalui Perjanjian Kemerdekaan 1957, di mana Raja-Raja Melayu menyerahkan kuasa de legist mereka kepada pihak British yang menjajah melalui kuasa de facto. Seterusnya, British menyerahkan pula kuasa ini kepada rakyat Tanah Melayu untuk membentuk kerajaan dan pentadbiran Tanah Melayu. Kuasa-kuasa ini adalah termasuk kuasa memberi kerakyatan. Tanpa penyerahan kuasa oleh Raja-Raja Melayu, kewarganegaraan ini adalah mustahil diberi kepada para pekerja berbangsa Cina dan India.

Kami di GMP melakar kembali kenangan ini bukanlah kerana sengaja mahu mengapi atau mengeruhkan suasana harmoni di antara kaum Melayu, Cina dan India. Kami menulis perkara ini kerana ia adalah kebenaran. Kebenaran inilah yang dipegang oleh para pejuang ketiga-tiga bangsa semasa sama-sama membuat rundingan kemerdekaan. Ia adalah muktamad. Ini adalah kedudukannya selagi ada bulan dan bintang dan selagi ada manusia yang dikenali sebagai Melayu di bumi bertuah ini.

Rakan-rakan bangsa Cina dan India. Apabila nenek moyang anda bersama-sama orang-orang Melayu melakukan rundingan kemerdekaan, mereka juga sudah melakukan rundingan bagi pihak anda. Iaitu antara lain jika mereka bersetuju untuk menjadi warganegara Tanah Melayu, maka orang-orang Melayu wajib menerima kewarganegaraan mereka seolah-olah mereka dilahirkan di Tanah Melayu atau di dalam bahasa latin di sebut jus soli.

Secara asasnya, apabila kewarganegaraan secara jus soli diberi maka secara automatik anda mempunyai hak untuk mengundi dan hak untuk mempunyai harta termasuk tanah kecuali tanah-tanah yang diwasiatkan oleh Raja-Raja Melayu direzabkan untuk orang-orang Melayu sahaja.

Nenek moyang anda juga telah mensyaratkan bahawa untuk mereka menerima menjadi warganegara Tanah Melayu, bahasa ibunda masing-masing hendaklah dikekalkan. Begitu juga dengan agama asal anda berserta dengan beberapa syarat lagi untuk melindungi hak-hak anda di sebuah negara asing jauh dari tempat kelahiran nenek moyang anda.

Kesemua perkara-perkara yang disyaratkan oleh nenek moyang anda sebelum mereka menerima kewarganegaraan Tanah Melayu adalah juga diperihalkan di dalam Perlembagaan Persekutuan melalui Perkara 3, 8, 11, 13 dan 152 dan ia juga adalah bersifat muktamad. Inilah juga adalah kebenaran. Orang-orang Melayu tidak pernah sedikit pun cuba meminda kedudukan dan hak-hak anda seperti mana yang terkandung di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Konsep ketuanan Melayu adalah suatu moto yang diperkenalkan oleh UMNO untuk memberi semangat kepada orang-orang Melayu memajukan bangsa mereka. Ia juga adalah sebagai kata-kata hikmat untuk orang-orang Melayu sedar dan melindungi hak-hak mereka yang telah terkandung di dalam Perlembagaan Persekutuan. Ia tiada kena mengena dengan tuan dan hamba.

Ia adalah suatu moto yang tidak memberi apa-apa kesan dari segi perundangan sehingga anda semua dihambaabdikan di Tanah Melayu. Ini adalah kerana hak-hak anda telah dikunci kemas di dalam Perlembagaan Persekutuan. Inilah kebenarannya.

Oleh yang demikian, apabila PKR mahu berjuang untuk menghapuskan ketuanan Melayu maka mereka berbohong kepada anda semua kerana ia tidak wujud melainkan hanya sebagai moto.

Kecualilah jika sekiranya PKR berazam mahu menghapuskan hak-hak orang melayu seperti mana yang terkandung di dalam Perlembagaan Persekutuan. Secara jujur, adakah anda berasa ia adil kepada orang-orang Melayu jika sekiranya hak-hak mereka dihapuskan sedangkan hak-hak anda masih tersemat kemas. Adakah anda semua berasa yakin sebagai orang Melayu tokoh-tokoh PKR yang melaungkan semboyan itu akan melakukannya.

Secara jujurnya lagi, melalui penerangan yang tertulis tadi adakah anda semua merasa yakin ia boleh dihapuskan dengan sebegitu senang tanpa apa-apa bantahan dari orang melayu. GMP merasa yakin jika ia mahu dilakukan maka pertumpahan darah akan berlaku dan kita semua akan hilang kedamaian yang selama ini kita kecapi. Semua kemajuan yang telah dicapai sekarang akan hilang dan sekali lagi kita semua akan mengambil masa yang lama untuk saling mempercayai sesama kaum seperti yang berlaku pada 13hb Mei, 1969.

Ini semua hanyalah suatu retorik ahli politik terdesak. Ia bukan sesuatu yang benar dan apabila ia datang dari seorang pemimpin utama maka kita semua semua wajar mempersoal kewarasan pemimpin itu seterusnya menolak ideologi melampau itu.

Hakikatnya, kaum-kaum di Malaysia telah sekian lama hidup harmoni berteraskan hak-hak mereka yang terkandung di dalam Perlembagaan Persekutuan. Jangan biarkan keharmonian ini tergugat hanya kerana ada orang-orang tertentu mahu merebut kuasa.

PENULIS ialah Penolong Setiausaha Gagasan Melayu Perak (GMP)

Raja Melayu perlu bersatu nyata pendirian

IPOH 8 Dis. – Raja-raja Melayu perlu bersatu menyatakan pendirian menentang sebarang usaha pihak-pihak tertentu yang mahu menghapuskan sejarah bangsa hanya kerana kepentingan dan pemikiran sempit mereka.

Presiden Gagasan Melayu Perak (GMP), Datuk Seri Mohd. Hilmi Ismail berkata, ia penting memandangkan usaha pihak tidak bertanggungjawab tersebut kini telah sampai ke peringkat membimbangkan.

“Raja-raja Melayu melalui Majlis Raja-Raja perlu membuat pendirian tegas dan menguatkuasakan perkara ini berdasarkan peruntukan dalam bidang kuasa majlis agama Islam negeri masing-masing.

“Ia sebagai langkah menggelakkan orang Melayu terus terpesong dan sanggup mempertikaikan hak istimewa sendiri,” katanya di sini hari ini.

Dalam pada itu, menurut Mohd. Hilmi, peringatan Sultan Perak tersebut yang turut dibangkitkan Sultan Selangor dan Sultan Pahang sebelum ini, perlu dilihat sebagai suatu maklum balas yang serius.

“Sesungguhnya titah Tuanku itu berlandaskan pengetahuan dan kenyataan Tuanku selaku bekas hakim, memang arif tentang perundangan dan Perlembagaan Persekutuan.

“GMP merasakan titah raja-raja Melayu akhir-akhir ini seperti Sultan Perak, Sultan Selangor dan Sultan Pahang adalah petanda terhadap rasa tidak senang dengan perkembangan yang berlaku,” katanya.

Sehubungan itu, Mohd. Hilmi menyeru orang Melayu mengambil keberkatan sempena sambutan Maal Hijrah agar bersedia berhijrah daripada landasan yang buruk kepada landasan yang diredai Allah.

Tuesday, November 30, 2010

GMP mahu Wan Azizah, Azmin diusir

IPOH 30 Nov. - Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan timbalannya, Azmin Ali wajar diusir keluar daripada negara ini jika tidak dapat menerima konsep ketuanan Melayu.

Presiden Gagasan Melayu Perak (GMP), Datuk Seri Mohd. Hilmi Ismail berkata, tindakan kedua-dua pemimpin PKR itu jelas menunjukkan mereka buta sejarah dan tidak memahami makna sebenar konsep yang dimaksudkan.

"Jika mengisytiharkan 'perang' kepada ketuanan Melayu, secara tidak langsung, mereka tidak menerima Perlembagaan Negara yang mengiktiraf kedudukan sebenar orang Melayu dan raja-raja Melayu di negara ini," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Mohd. Hilmi mengulas tindakan Dr. Wan Azizah dan Azmin yang mengumumkan 'perang' terhadap ketuanan Melayu ketika kongres parti itu berlangsung baru-baru ini.

Dalam masa yang sama, Mohd. Hilmi berharap, masyarakat Melayu di negara ini menginsafi nasihat Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang mahu orang Melayu sedar tentang peranan dan tanggungjawab mereka.

Semalam, baginda melahirkan rasa dukacitanya dengan sikap segelintir orang Melayu yang sanggup mempersoalkan kedudukan dan keistimewaan orang Melayu dan peranan institusi raja dalam sistem pemerintahan negara.

"Sehingga ada suara lantang daripada orang Melayu sendiri meminta perkataan 'Melayu' yang ada pada ungkapan 'Raja-Raja Melayu' dihapuskan," titah baginda.

Mengulas lanjut, kata Mohd. Hilmi, orang Melayu perlu sedar negara ini adalah satu-satunya tanah air untuk generasi mereka.

"Orang Melayu harus insaf dan mendengar nasihat tuanku kerana tanah Melayu adalah tanah tumpah darah dan tempat kita dikuburkan.

"Orang Melayu tiada tanah lain melainkan tanah Melayu yang kini dikenali sebagai Malaysia," katanya.

Sementara itu di Shah Alam, Gerakan Belia 4B negeri membuat laporan polis terhadap Presiden PKR tersebut yang didakwa mengeluarkan kenyataan yang boleh mengundang kepada ketidakstabilan kaum di negara ini.

Setiausaha Kehormatnya, Mohd. Zaini Mohd. Taha berkata, kenyataan Dr. Wan Azizah ketika menyampaikan ucapan dasar pada Kongres PKR di Petaling Jaya dekat sini 27 November lalu telah mencetuskan rasa tidak puas hati serta kemarahan di kalangan orang Melayu termasuklah ahli gerakan belia itu sendiri.

Dakwanya, kenyataan Presiden PKR itu jelas satu cubaan menafikan hak serta kedudukan kaum Melayu termasuk raja-raja Melayu seperti yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan.

"Gerakan Belia 4B Selangor melihat kenyataan Dr. Wan Azizah itu bersifat politik untuk menarik sokongan terhadap PKR. Bagi kita, ia satu kenyataan yang tidak bertanggungjawab yang boleh menggugat keharmonian kaum di negara ini.

"Sehubungan itu kita buat laporan agar pihak polis menyiasat kenyataan yang dikeluarkan oleh Dr. Wan Azizah mengenai perkara tersebut dan mengambil tindakan berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis sambil ditemani kira-kira 10 orang ahli jawatankuasa Gerakan Belia 4B negeri di sini.

Mohd. Zaini serta penyokongnya turut membawa sepanduk dengan ungkapan mengkritik serta memberi amaran kepada Presiden PKR itu seperti 'Wan Azizah, Jangan Main Api', 'Jangan Hina Kaum Kami' dan 'Gerakan Belia 4B Daulat Ketuanan Melayu'.

Tambah Mohd. Zaini, pihaknya menyokong agar Wan Azizah dikenakan tindakan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) ekoran kenyataan tersebut.

Dalam masa yang sama, beliau turut menyatakan laporan polis itu merupakan fasa pertama pihaknya bagi membantah dasar PKR yang mahu menghapuskan ketuanan Melayu.

Katanya, pihaknya merancang mengadakan perhimpunan di pejabat Majlis Belia Selangor (MBS) di Kompleks Belia dan Sukan, Seksyen 7, di sini kira-kira pukul 9 pagi esok dan membakar gambar Dr. Wan Azizah sebagai tanda protes terhadap dasar PKR yang disifatkannya tidak bertanggungjawab.

Monday, November 15, 2010

Gagasan Melayu Perak sifatkan DAP 'penakut'

IPOH 14 Nov. - Gagasan Melayu Perak (GMP) menyifatkan DAP 'penakut' kerana menentang cadangan untuk menjadikan 13 Mei sebagai tarikh memperingati salah satu daripada peristiwa bersejarah di negara ini.

Presidennya, Datuk Seri Mohd. Hilmi Ismail berkata, DAP tidak perlu memberi pelbagai alasan untuk menggagalkan hasrat tersebut jika mereka berani berhadapan dengan kebenaran.

''Saya tidak melihat mengapa DAP dan beberapa pemimpin parti politik lain menentang pelajaran Sejarah diwajibkan atau memperingati hari sedemikian (13 Mei) selain mereka takut jika fakta sejarah ini diketahui oleh rakyat," katanya ketika menghubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Penasihat DAP, Lim Kit Siang sebelum ini menuduh cadangan kolumnis Utusan Malaysia, Datuk Zaini Hassan menerusi ruangan Cuit supaya tarikh berdarah itu disambut sebagai 'Hari Muhibah' setiap tahun kononnya bertujuan menghasut dan berbaur perkauman.

Khamis lalu, Kit Siang semasa sidang Dewan Rakyat dipetik sebagai berkata: ''Bukankah ini satu hasutan dan sangat berbahaya? Adakah ia satu tajuk berita yang perlu dikaji oleh Jawatankuasa Sensitiviti? Bolehkah ada satu sikap yang serius untuk mengutuk laporan seperti ini."

Semalam, Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin dalam blognya berkata, tindakan DAP itu mudah difahami kerana parti tersebut tahu siapa yang sebenarnya memulakan provokasi melampau terhadap orang Melayu sehingga mencetuskan pergaduhan berdarah 13 Mei.

Dalam perkembangan berkaitan, Zulkifli mencadangkan supaya 13 Mei dijadikan 'Hari Mahabbah' (Hari Kasih Sayang) bagi mendidik generasi sekarang dan seterusnya agar sentiasa mengingati tarikh tersebut demi mengelakkan kejadian sama berulang.

Katanya, Singapura meraikan 21 Julai sebagai 'Hari Harmoni Kaum' dalam usaha republik itu memperingati peristiwa berdarah rusuhan kaum dan agama pada 21 Julai 1964 ketika orang Melayu sedang menyambut Maulidur Rasul.

Hal yang sama turut dilakukan Jepun yang meraikan 6 dan 9 Ogos sebagai 'Hari Keamanan' bagi memperingati peristiwa pembunuhan pada 1945 apabila Amerika Syarikat meletupkan dua bom atom di bandar Hiroshima dan Nagasaki.

Mengulas lanjut, kata Mohd. Hilmi, pemimpin DAP cuba menyembunyikan sejarah sebenar kerana mungkin mereka takut dibayangi kesilapan lalu.

''Jika sejarah hitam 13 Mei ini terbongkar bahawa siapa yang bertanggungjawab, mungkin ada pihak-pihak tertentu tidak senang," katanya.

Mohd. Hilmi berharap kerajaan dapat mempertimbangkan perkara tersebut dengan sebaik mungkin kerana beliau yakin, majoriti rakyat akan menyokong segala usaha yang membawa kebaikan kepada negara.

''Kita tak boleh sembunyikan sejarah hitam. Apabila diketahui, diinsafi sudah tentu kita tidak mahu mengulangi sebaliknya akan menjadikan ia pengajaran dan akan terus mengambil ingatan.

''Ini sudah tentu dapat memperkukuhkan perpaduan dan keharmonian negara," katanya.

Thursday, October 7, 2010

Majlis Raja-Raja perlu nyatakan pendirian

IPOH 7 Okt. – Majlis Raja-Raja yang dijangka mengadakan persidangan dalam tempoh terdekat, perlu menyatakan pendirian berhubung kedudukan dan keistimewaan orang Melayu.

Presiden Gagasan Melayu Perak (GMP), Datuk Seri Mohd. Hilmi Ismail berkata, Majlis Raja-Raja wajar mengambil pendekatan tersebut dalam usaha memastikan tiada pihak mengambil kesempatan dengan sewenang-wenangnya.

Kata beliau, apa yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan ketika ini adalah hasil perjanjian Raja-Raja Melayu dengan penjajah British sebelum tercetus persetujuan menerima kehadiran kaum lain di negara ini.

“Kita sentiasa menantikan pendirian Majlis Raja-Raja tentang isu kedudukan dan hak orang Melayu ini kerana raja-raja adalah pihak yang bertanggungjawab memberi laluan kepada kemerdekaan Tanah Melayu.

“Kerana kesanggupan baginda semua menyerahkan sedikit kuasa yang ada, barulah usaha Tunku Abdul Rahman untuk mendapatkan kemerdekaan negara daripada British menjadi kenyataan,” katanya di sini hari ini.

Mohd. Hilmi berkata, titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar adalah tepat dan berasas ketika baginda membidas sikap segelintir pihak yang ghairah memperjuangkan kaum sendiri dan mempertikaikan hak keistimewaan orang Melayu seperti termaktub dalam Perlembagaan.

Malah, katanya, teguran dan kebimbangan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah; Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah serta Sultan Selangor, Sultan Sharifuddin Idris Shah berhubung masa depan orang Melayu sebelum ini harus dinyatakan selaras dengan pendirian Majlis Raja-Raja.

Jelas beliau, sebagai payung orang Melayu, Majlis Raja-Raja memainkan peranan besar dalam menggerakkan usaha penyatuan masyarakat Melayu berlainan ideologi politik di negara ini.

Monday, October 4, 2010

Azmin bukan aset perjuangan rakyat

Presiden Gagasan Melayu Perak (GMP), Datuk Seri Mohd. Hilmi Ismail amat kecewa dan tersinggung dengan kenyataan Azmin itu dan yakin perasaan itu dikongsi bersama oleh beratus lagi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berteraskan Melayu di negara ini.

Tegas beliau, NGO Melayu di negara ini langsung tidak mengharap dan memerlukan sokongan PKR atau parti politik lain untuk menggerakkan agenda masing-masing.

“Punca utama NGO muncul seperti cendawan selepas hujan selepas Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-12 lalu adalah kerana mereka hilang keyakinan terhadap peranan parti-parti politik membela nasib Islam dan Melayu.

“Jika kita harap kepada UMNO atau PKR, sudah tentu kami (NGO) tidak akan wujud dengan banyaknya. Mengapa semasa era bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad NGO Melayu tidak begitu banyak? Jawapannya adalah kerana beliau dan kerajaan menjaga kepentingan agama dan bangsa,” katanya.

Katanya, PKR tidak boleh memandang rendah kekuatan NGO kerana pada pilihan raya umum akan datang tidak mustahil ahli-ahlinya akan menjadi salah satu penentu kepada kekalahan dan kemenangan mana-mana calon.

Mohd. Hilmi juga menyangkal tohmahan Azmin bahawa Dr. Mahathir turut memperjuangkan perkauman sempit kerana berselindung di sebalik Perkasa.

“Dr. Mahathir tidak salah dan rasis, malah sejak dahulu lagi beliau konsisten mempertahankan kepentingan Melayu dan kaum lain di negara ini.

“Jasa beliau kepada negara ini serta semua kaum terlalu besar dan langsung tidak terjangkau oleh Azmin, bezanya seperti langit dan bumi,” katanya.