Slideshow

GAGASAN MELAYU PERAK - Kearah Memertabatkan Bangsa, Agama dan Negara


Gagasan Melayu Perak (GMP) adalah sebuah persatuan bukan politik yang bertujuan untuk menyatukan orang Melayu Perak bagi mempertahan dan memperjuangkan kepentingan dan hak orang Melayu, Bahasa Melayu, Institusi Kesultanan Negeri Perak, Agama Islam dan Adat Istiadat Orang Melayu Perak. Ianya lahir dari resolusi Perhimpunan Melayu Perkasa yang dianjurkan oleh Persatuan Darul Ridzuan Di Selangor dan Wilayah Persekutuan dengan kerjasama pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan Negeri Perak pada 9hb Ogos, 2008 di Universiti Teknologi PETRONAS Tronoh. Persatuan Melayu Perak yang diberi nama Gagasan Melayu Perak (GMP) telah diluluskan pendaftarannya pada 17hb Mac 2009. Mesyuarat Agung Penubuhan GMP telah diadakan pada 20hb Jun 2009 di Hotel Heritage, Ipoh dirasmikan oleh Yang Amat Berbahagia Tun Dr. Mahathir Mohamad Mantan Perdana Menteri Malaysia.

Tuesday, November 30, 2010

GMP mahu Wan Azizah, Azmin diusir

IPOH 30 Nov. - Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan timbalannya, Azmin Ali wajar diusir keluar daripada negara ini jika tidak dapat menerima konsep ketuanan Melayu.

Presiden Gagasan Melayu Perak (GMP), Datuk Seri Mohd. Hilmi Ismail berkata, tindakan kedua-dua pemimpin PKR itu jelas menunjukkan mereka buta sejarah dan tidak memahami makna sebenar konsep yang dimaksudkan.

"Jika mengisytiharkan 'perang' kepada ketuanan Melayu, secara tidak langsung, mereka tidak menerima Perlembagaan Negara yang mengiktiraf kedudukan sebenar orang Melayu dan raja-raja Melayu di negara ini," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Mohd. Hilmi mengulas tindakan Dr. Wan Azizah dan Azmin yang mengumumkan 'perang' terhadap ketuanan Melayu ketika kongres parti itu berlangsung baru-baru ini.

Dalam masa yang sama, Mohd. Hilmi berharap, masyarakat Melayu di negara ini menginsafi nasihat Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang mahu orang Melayu sedar tentang peranan dan tanggungjawab mereka.

Semalam, baginda melahirkan rasa dukacitanya dengan sikap segelintir orang Melayu yang sanggup mempersoalkan kedudukan dan keistimewaan orang Melayu dan peranan institusi raja dalam sistem pemerintahan negara.

"Sehingga ada suara lantang daripada orang Melayu sendiri meminta perkataan 'Melayu' yang ada pada ungkapan 'Raja-Raja Melayu' dihapuskan," titah baginda.

Mengulas lanjut, kata Mohd. Hilmi, orang Melayu perlu sedar negara ini adalah satu-satunya tanah air untuk generasi mereka.

"Orang Melayu harus insaf dan mendengar nasihat tuanku kerana tanah Melayu adalah tanah tumpah darah dan tempat kita dikuburkan.

"Orang Melayu tiada tanah lain melainkan tanah Melayu yang kini dikenali sebagai Malaysia," katanya.

Sementara itu di Shah Alam, Gerakan Belia 4B negeri membuat laporan polis terhadap Presiden PKR tersebut yang didakwa mengeluarkan kenyataan yang boleh mengundang kepada ketidakstabilan kaum di negara ini.

Setiausaha Kehormatnya, Mohd. Zaini Mohd. Taha berkata, kenyataan Dr. Wan Azizah ketika menyampaikan ucapan dasar pada Kongres PKR di Petaling Jaya dekat sini 27 November lalu telah mencetuskan rasa tidak puas hati serta kemarahan di kalangan orang Melayu termasuklah ahli gerakan belia itu sendiri.

Dakwanya, kenyataan Presiden PKR itu jelas satu cubaan menafikan hak serta kedudukan kaum Melayu termasuk raja-raja Melayu seperti yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan.

"Gerakan Belia 4B Selangor melihat kenyataan Dr. Wan Azizah itu bersifat politik untuk menarik sokongan terhadap PKR. Bagi kita, ia satu kenyataan yang tidak bertanggungjawab yang boleh menggugat keharmonian kaum di negara ini.

"Sehubungan itu kita buat laporan agar pihak polis menyiasat kenyataan yang dikeluarkan oleh Dr. Wan Azizah mengenai perkara tersebut dan mengambil tindakan berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis sambil ditemani kira-kira 10 orang ahli jawatankuasa Gerakan Belia 4B negeri di sini.

Mohd. Zaini serta penyokongnya turut membawa sepanduk dengan ungkapan mengkritik serta memberi amaran kepada Presiden PKR itu seperti 'Wan Azizah, Jangan Main Api', 'Jangan Hina Kaum Kami' dan 'Gerakan Belia 4B Daulat Ketuanan Melayu'.

Tambah Mohd. Zaini, pihaknya menyokong agar Wan Azizah dikenakan tindakan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) ekoran kenyataan tersebut.

Dalam masa yang sama, beliau turut menyatakan laporan polis itu merupakan fasa pertama pihaknya bagi membantah dasar PKR yang mahu menghapuskan ketuanan Melayu.

Katanya, pihaknya merancang mengadakan perhimpunan di pejabat Majlis Belia Selangor (MBS) di Kompleks Belia dan Sukan, Seksyen 7, di sini kira-kira pukul 9 pagi esok dan membakar gambar Dr. Wan Azizah sebagai tanda protes terhadap dasar PKR yang disifatkannya tidak bertanggungjawab.

No comments:

Post a Comment