Slideshow

GAGASAN MELAYU PERAK - Kearah Memertabatkan Bangsa, Agama dan Negara


Gagasan Melayu Perak (GMP) adalah sebuah persatuan bukan politik yang bertujuan untuk menyatukan orang Melayu Perak bagi mempertahan dan memperjuangkan kepentingan dan hak orang Melayu, Bahasa Melayu, Institusi Kesultanan Negeri Perak, Agama Islam dan Adat Istiadat Orang Melayu Perak. Ianya lahir dari resolusi Perhimpunan Melayu Perkasa yang dianjurkan oleh Persatuan Darul Ridzuan Di Selangor dan Wilayah Persekutuan dengan kerjasama pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan Negeri Perak pada 9hb Ogos, 2008 di Universiti Teknologi PETRONAS Tronoh. Persatuan Melayu Perak yang diberi nama Gagasan Melayu Perak (GMP) telah diluluskan pendaftarannya pada 17hb Mac 2009. Mesyuarat Agung Penubuhan GMP telah diadakan pada 20hb Jun 2009 di Hotel Heritage, Ipoh dirasmikan oleh Yang Amat Berbahagia Tun Dr. Mahathir Mohamad Mantan Perdana Menteri Malaysia.

Monday, January 10, 2011

Ambil tindakan segera terhadap Shuhaimi - Mohd. Hilmi

IPOH 10 Jan. - Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Jabatan Peguam Negara perlu mengambil tindakan segera terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Muda, Shuhaimi Shafie yang mengeluarkan kenyataan biadab terhadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah baru-baru ini.

Ketika membuat desakan tersebut, Presiden Gagasan Melayu Perak (GMP), Datuk Seri Mohd. Hilmi Ismail berkata, jika tidak dibendung dari awal, kenyataan Shuhaimi itu dibimbangi mempunyai agenda menghasut rakyat ke arah pemerintahan republik.

"Pendapat pakar-pakar perundangan, peguam dan cendekiawan universiti mengatakan memang patut Shuhaimi diambil tindakan di bawah Akta Hasutan kerana buktinya sudah ada dan tersiar menerusi blognya.

"Perkara ini sudah jelas dan bukan lagi samar-samar atau tidak pasti. Beliau tidak boleh lari," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Shuhaimi dalam blognya baru-baru ini didakwa berkata, pelantikan Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Selangor tidak memerlukan perkenan Sultan Selangor, sebaliknya boleh dilakukan di bawah kuasa Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Bagaimanapun, beberapa hari kemudian entri berkaitan telah dikeluarkan dari blog tersebut.

Menurut Mohd. Hilmi, sekiranya tindakan tidak diambil atau dilengahkan ke atas ADUN Sri Muda itu, ia menunjukkan keadilan tidak ditegakkan.

Katanya, kerajaan mungkin tidak mengambil tindakan sehingga kini atas pertimbangan politik kerana bimbang disalah tafsir akan berlaku ketidakadilan.

"Namun, dalam perundangan sesebuah negara, sekiranya seseorang itu melanggar undang-undang, dia perlu dihukum walaupun di kalangan pemerintah sendiri," katanya.

Tambah beliau, sikap biadab terhadap sultan seperti itu pernah ditunjukkan oleh wakil-wakil rakyat pakatan pembangkang di Perak selepas Pilihan Raya Umum 2008.

Begitupun, sama seperti Shuhaimi, mereka tidak didakwa sehingga kini.

"Tidak pernah berlaku dalam sejarah, rakyat yang bersikap sedemikian rupa ke atas sultan tidak dihukum," tegasnya.

Mohd. Hilmi berkata, perkembangan semasa menunjukkan ramai tidak berpuas hati dengan kebiadaban Shuhaimi, apatah lagi tiada tindakan diambil terhadapnya.

"Sekiranya, tidak diambil tindakan sewajarnya, mungkin ada lebih banyak demonstrasi selepas ini dan saya bimbang ia akan merebak menjadi lebih besar sehingga boleh menimbulkan keadaan yang tidak tenang," katanya.

No comments:

Post a Comment