Slideshow

GAGASAN MELAYU PERAK - Kearah Memertabatkan Bangsa, Agama dan Negara


Gagasan Melayu Perak (GMP) adalah sebuah persatuan bukan politik yang bertujuan untuk menyatukan orang Melayu Perak bagi mempertahan dan memperjuangkan kepentingan dan hak orang Melayu, Bahasa Melayu, Institusi Kesultanan Negeri Perak, Agama Islam dan Adat Istiadat Orang Melayu Perak. Ianya lahir dari resolusi Perhimpunan Melayu Perkasa yang dianjurkan oleh Persatuan Darul Ridzuan Di Selangor dan Wilayah Persekutuan dengan kerjasama pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan Negeri Perak pada 9hb Ogos, 2008 di Universiti Teknologi PETRONAS Tronoh. Persatuan Melayu Perak yang diberi nama Gagasan Melayu Perak (GMP) telah diluluskan pendaftarannya pada 17hb Mac 2009. Mesyuarat Agung Penubuhan GMP telah diadakan pada 20hb Jun 2009 di Hotel Heritage, Ipoh dirasmikan oleh Yang Amat Berbahagia Tun Dr. Mahathir Mohamad Mantan Perdana Menteri Malaysia.

Sunday, August 29, 2010

Agenda untuk mencemarkan Islam

KUALA LUMPUR 27 Ogos - Tindakan Ahli Parlimen DAP kawasan Serdang, Teo Nie Ching masuk ke ruang solat sebuah surau di Kajang minggu lalu dan beberapa kejadian melibatkan umat Islam, seolah-olah menunjukkan terdapat satu gelombang untuk mencemarkan kemuliaan dan kesucian agama Islam.

Presiden Gagasan Melayu Perak (GMP), Datuk Seri Mohd. Hilmi Ismail berkata, perkara seperti itu semakin membimbangkan dan umat Islam diingat agar berwaspada terhadap anasir yang mahu merosakkan negara melalui cara biadab.

"Baru sahaja kita kecoh dengan kes nama Ketua Menteri Pulau Pinang disebut dalam khutbah Jumaat menggantikan nama Yang di-Pertuan Agong, kemudian timbul pula kes simbah cat dan melempar botol arak di sebuah surau di Negeri Sembilan dan sekarang di Selangor pula.

"Kalau dilihat beberapa kes ini, seperti ada satu gelombang yang hendak merosakkan agama Islam," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai tindakan Nie Ching yang memasuki ruang solat Surau Al-Huda di Kajang Sentral pada satu majlis penyampaian bantuan kepada ahli-ahli Pas Ahad lalu.

Bukan sahaja memasuki ruang solat utama, Nie Ching juga dikatakan menyampaikan ucapan pada majlis tersebut.

Selaku presiden gagasan yang menjaga kepentingan Islam dan Melayu, Mohd. Hilmi juga mengutuk sekeras-kerasnya tindakan pihak yang membenarkan dan membolehkan Nie Ching berada di ruang solat utama surau tersebut.

Malah beliau meminta supaya jabatan agama Islam negeri mengambil tindakan sekeras-kerasnya terhadap mereka yang menganjurkan program tersebut serta Ahli Parlimen terbabit.

"Jangan membabitkan maruah Islam dengan kepentingan peribadi atau politik kerana kalau orang Islam teruskan perbuatan seperti ini, akan ada balasan daripada Allah kelak.

"Kita tidak mahu orang Islam yang tidak bersalah dan ikut jalan sebenar akan turut menerima padah akibat perbuatan segelintir umat Islam yang lain," katanya.

Sementara itu Presiden Persatuan Pemikir Profesional Melayu Malaysia, Prof. Datuk Dr. Kamaruddin Kachar menganggap tindakan nazir dan jawatankuasa surau terbabit sebagai 'orang yang lemah dan rendah pemikiran'.

"Mengapa mahu jadi budak-budak yang boleh digula-gulakan? Hanya kerana sedikit derma, kita membenarkan mereka memasuki Rumah Allah itu.

"Sudah hilangkan panduan ajaran agama gara-gara politik ? Kalau setakat nak beri bantuan, boleh beri di luar surau atau beri kepada jawatankuasa surau untuk dibahagi-bahagikan.

"Saya minta perkara seperti ini tidak berlaku lagi dan berharap umat Islam sedar diri," katanya.

No comments:

Post a Comment