Slideshow

GAGASAN MELAYU PERAK - Kearah Memertabatkan Bangsa, Agama dan Negara


Gagasan Melayu Perak (GMP) adalah sebuah persatuan bukan politik yang bertujuan untuk menyatukan orang Melayu Perak bagi mempertahan dan memperjuangkan kepentingan dan hak orang Melayu, Bahasa Melayu, Institusi Kesultanan Negeri Perak, Agama Islam dan Adat Istiadat Orang Melayu Perak. Ianya lahir dari resolusi Perhimpunan Melayu Perkasa yang dianjurkan oleh Persatuan Darul Ridzuan Di Selangor dan Wilayah Persekutuan dengan kerjasama pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan Negeri Perak pada 9hb Ogos, 2008 di Universiti Teknologi PETRONAS Tronoh. Persatuan Melayu Perak yang diberi nama Gagasan Melayu Perak (GMP) telah diluluskan pendaftarannya pada 17hb Mac 2009. Mesyuarat Agung Penubuhan GMP telah diadakan pada 20hb Jun 2009 di Hotel Heritage, Ipoh dirasmikan oleh Yang Amat Berbahagia Tun Dr. Mahathir Mohamad Mantan Perdana Menteri Malaysia.

Wednesday, September 22, 2010

Pelbagai implikasi tangguh kes liwat Anwar

KUALA LUMPUR 22 Sept. - Perbicaraan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim yang telah tertangguh beberapa kali sebelum ini berikutan permohonan demi permohonan yang dikemukakan oleh tertuduh dilihat boleh menimbulkan pelbagai implikasi.

Tanpa mempertikaikan keputusan mahkamah, Presiden Gagasan Melayu Perak (GMP), Datuk Seri Mohd. Hilmi Ismail berkata, penangguhan kes liwat itu akan meningkatkan kos kewangan sama ada secara langsung atau tidak langsung.

"Di pihak pendakwa, iaitu kerajaan sudah pasti kos guamannya akan bertambah setiap kali kes ini ditangguhkan.

"Wang yang akan digunakan untuk membayar kos tersebut pula ialah wang rakyat dan ini seharusnya diberikan perhatian oleh pihak berkenaan sebelum menangguhkan kes liwat tersebut," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai perbicaraan kes liwat Anwar yang ditangguhkan Mahkamah Tinggi ke 14 Oktober ini bagi pihak pembelaan menyoal balas saksi pendakwa kedua, doktor pakar dari Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr. Razali Ibrahim.

Hakim, Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah juga menetapkan 25 hingga 29 Oktober, 22 hingga 26 November dan 6 hingga 10 Disember bagi meneruskan perbicaraan seperti yang dipersetujui kedua-dua pihak dalam sebutan kes semalam.

Anwar yang merupakan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) dibicarakan atas tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, No.99 Jalan Setia kasih, Bukit Damansara, di sini di antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang, 26 Jun 2008.

Anwar didakwa mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan dan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Mengulas lanjut, Mohd. Hilmi berkata, sebagai mangsa, Mohd. Saiful juga akan berasa tertekan dan tidak mendapat keadilan apabila kes liwat itu terlalu kerap ditangguhkan.

"Melambatkan dan menangguhkan kes itu seolah-olah menafikan keadilan terhadap Mohd. Saiful.

"Kehidupan seharian Mohd. Saiful juga akan terganggu kerana orang akan bercakap mengenai kesnya itu. Beliau juga tidak akan tenteram dan berasa tertekan untuk bekerja," katanya.

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Pemikir Melayu Malaysia, Prof. Datuk Dr. Kamarudin Kachar berkata, institusi kehakiman perlu bertindak secara profesional dan cekap kerana penangguhan kes itu hanya akan memalukan negara di mata dunia.

Sehubungan itu, katanya, kes liwat Anwar itu perlu diselesaikan secepat mungkin dengan berlandaskan kepada fakta supaya keadilan dapat diwujudkan.

Selain itu, katanya, rakyat juga akan membuat pelbagai spekulasi dan andaian ekoran kegagalan institusi kehakiman negara untuk menyelesaikan kes liwat tersebut.

No comments:

Post a Comment