Slideshow

GAGASAN MELAYU PERAK - Kearah Memertabatkan Bangsa, Agama dan Negara


Gagasan Melayu Perak (GMP) adalah sebuah persatuan bukan politik yang bertujuan untuk menyatukan orang Melayu Perak bagi mempertahan dan memperjuangkan kepentingan dan hak orang Melayu, Bahasa Melayu, Institusi Kesultanan Negeri Perak, Agama Islam dan Adat Istiadat Orang Melayu Perak. Ianya lahir dari resolusi Perhimpunan Melayu Perkasa yang dianjurkan oleh Persatuan Darul Ridzuan Di Selangor dan Wilayah Persekutuan dengan kerjasama pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan Negeri Perak pada 9hb Ogos, 2008 di Universiti Teknologi PETRONAS Tronoh. Persatuan Melayu Perak yang diberi nama Gagasan Melayu Perak (GMP) telah diluluskan pendaftarannya pada 17hb Mac 2009. Mesyuarat Agung Penubuhan GMP telah diadakan pada 20hb Jun 2009 di Hotel Heritage, Ipoh dirasmikan oleh Yang Amat Berbahagia Tun Dr. Mahathir Mohamad Mantan Perdana Menteri Malaysia.

Friday, September 24, 2010

Tidak mustahil sejarah penentangan Malayan Union berulang

KUALA LUMPUR 24 Sept. - Seorang pemerhati politik tidak menolak kemungkinan akan berlaku penentangan fizikal besar-besaran orang Melayu terhadap kerajaan, sekiranya pakatan pembangkang mengambil alih pemerintahan negara dan mencabuli keluhuran Perlembagaan.

Penyandang Kursi Tun Abdul Ghafar Baba, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Profesor Datuk Dr. Zainal Kling berkata, kenyataan itu tidak berasaskan kepada andaian tetapi bersandarkan kepada situasi semasa yang menyaksikan banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu bangkit mempertahankan hak mereka.

Menurut beliau, perkembangan itu berlaku dengan begitu drastik pada pasca Pilihan Raya Umum Ke-12, melebihi 'suasana panas' semasa Melayu bangkit menentang Malayan Union pada 1946.

"Sekiranya selain BN yang memerintah negara, kerajaan baru diyakini akan mengetepikan segala peruntukan Perlembagaan yang menjaga kepentingan Melayu dan bumiputera, sekali gus memenuhi tuntutan kaum lain.

"Apabila ia berlaku, nasi bukan lagi menjadi bubur tetapi sebaliknya dengan periuk-periuknya sekali musnah. Menangis keluar air mata darah sekalipun tidak berguna apabila Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengikut telunjuk DAP.

"Sejarah telah membuktikan bahawa DAP merupakan pewaris Parti Tindakan Rakyat (PAP) Singapura," katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas ingatan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad terhadap orang Melayu bahawa mereka akan kehilangan kuasa dan 'suara' jika pakatan pembangkang berjaya mengambil alih pemerintahan negara.

Kata beliau, ia terbukti sewaktu Perak diperintah pakatan pembangkang selepas pilihan raya umum lalu apabila DAP lebih berkuasa di negeri itu walaupun Menteri Besar daripada Pas.

Sementara itu, seorang lagi pemerhati politik tempatan, Che Hamdan Che Mohd. Razali bersetuju dengan ingatan Dr. Mahathir itu tetapi tidak meletakkan sepenuhnya punca permasalahan itu terhadap parti pembangkang.

Beliau yang juga pensyarah di Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara ( UiTM ), Kampus Dungun, Terengganu berkata, UMNO yang masih menjadi parti tunggak dalam BN perlu menilai kembali ideologi yang dibawa dalam perjuangan mereka.

Ini kerana, tegas beliau, sering kali dilihat banyak usaha murni yang dilakukan oleh pemimpin atasan khususnya Perdana Menteri, tidak dihayati sepenuhnya oleh pemimpin bawahan hingga menyebabkan permasalahan ahlinya di peringkat akar umbi tidak terbela.

"Apa yang perlu difikirkan sekarang, kenapa ia boleh dan mungkin berlaku? Saya melihat daripada perjuangan parti politik pembangkang yang sering mencanangkan oleh mereka sebagai politik baru.

"Pembawaan mereka yang dikatakan memperjuangkan isu-isu berbentuk nilai universal seperti hak asasi manusia, kesamarataan dan keadilan sosial, mudah mempengaruhi pengikut-pengikut mereka dan golongan muda yang dikatakan sealiran dengan arus globalisasi dan demokrasi," katanya.

Che Hamdan berkata, sebenarnya orang Melayu mempunyai kelebihan dalam perjuangan politik sekiranya mereka memperjuangkan nilai perjuangan politik Islam yang lebih universal dan fleksibel, ia lebih baik jika dibandingkan dengan perjuangan pembangkang khususnya PKR dan DAP.

"UMNO perlu menunjukkan kepada umum bahawa agama Islam bukan eksklusif untuk Melayu sahaja tetapi ia melangkaui kaum dan budaya.

"Kuasa dan kedudukan orang Melayu di Malaysia akan kekal dan lebih berdaulat sekiranya Islam dimartabatkan bagi membela kaum dan kumpulan masyarakat yang lemah dan terpinggir," tegas beliau.

(sumber : Utusan Malaysia 25.09.2010)

2 comments:

  1. inilah kelemahan kerajaan BN sekarang..ISA kan saja mereka2 yg menghasut..ambil contoh apa yang singapura lakukan.. kerajaan kita takut dan lemah untuk megambil tindakan..operasi lalang 3 harap dilakukan..MAHAGURU MAHATHIR masih lagi hidup..ambillah pendapat org2 tua

    ReplyDelete
  2. Umat Melayu Islam wajib bangkit dan menyatakan pendiriannya diwadah manakah mereka perlu sokong dan terus menerajui Negeri dan Negara.

    Bagi saya adalah lebih relevan bahawa Parti Pemerintahan sekarang yang ditunjangi oleh UMNO agar terus kekal berkuasa dan terus kuat dan menjadi wadah ampuh untuk org2 Melayu.

    Umat Melayu kuat Islam pun aklan kuat dan lebih terbela.

    Marilah wahai bangsaku Melayu untuk bersatu dan terus kekalkan pemerintahan Negara yg terus ditunjangi oleh Kaum Terbesar di Malaysia iaitu org Melayu - UMNO

    ReplyDelete