Slideshow

GAGASAN MELAYU PERAK - Kearah Memertabatkan Bangsa, Agama dan Negara


Gagasan Melayu Perak (GMP) adalah sebuah persatuan bukan politik yang bertujuan untuk menyatukan orang Melayu Perak bagi mempertahan dan memperjuangkan kepentingan dan hak orang Melayu, Bahasa Melayu, Institusi Kesultanan Negeri Perak, Agama Islam dan Adat Istiadat Orang Melayu Perak. Ianya lahir dari resolusi Perhimpunan Melayu Perkasa yang dianjurkan oleh Persatuan Darul Ridzuan Di Selangor dan Wilayah Persekutuan dengan kerjasama pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan Negeri Perak pada 9hb Ogos, 2008 di Universiti Teknologi PETRONAS Tronoh. Persatuan Melayu Perak yang diberi nama Gagasan Melayu Perak (GMP) telah diluluskan pendaftarannya pada 17hb Mac 2009. Mesyuarat Agung Penubuhan GMP telah diadakan pada 20hb Jun 2009 di Hotel Heritage, Ipoh dirasmikan oleh Yang Amat Berbahagia Tun Dr. Mahathir Mohamad Mantan Perdana Menteri Malaysia.

Monday, September 27, 2010

Hanya pemimpin bersungguh pertahan hak Melayu perlu dicalonkan - Hilmi

IPOH 27 Sept. - Gagasan Melayu Perak (GMP) mahu calon-calon yang dipilih oleh UMNO pada pilihan raya umum akan datang terdiri daripada mereka yang benar-benar dapat mempertahankan hak orang Melayu.

Presiden GMP, Datuk Seri Mohd. Hilmi Ismail berkata, perkara tersebut perlu diberi perhatian serius kerana kesilapan membuat percaturan hanya akan menyebabkan UMNO gagal mendapat sokongan masyarakat Melayu.

"UMNO perlu sedar bahawa tindakan mereka menjauhi orang Melayu menerusi kenyataan-kenyataan yang dibuat oleh beberapa pemimpin yang dilihat 'liberal' hanya akan menghilangkan undi mereka.

"GMP mahu pucuk pimpinan parti terutama di peringkat negeri mengutamakan calon yang dapat mempertahankan hak orang Melayu, bukan sebaliknya jika mereka mahu memenangi semula hati orang Melayu yang sehingga kini terus dilukai," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menyentuh tohmahan kononnya Tun Dr. Mahathir Mohamad mahu kembali menjadi Perdana Menteri, Mohd. Hilmi berkata, kenyataan yang dibuat oleh negarawan itu telah menjawab dakwaan liar tersebut.

Malah katanya, apa yang diperjuangkan oleh negarawan itu sewajarnya dilihat sebagai semangat cintakan bangsa dan bukan atas kepentingan diri sendiri, sebagaimana dilakukan oleh pihak yang membangkitkan perkara tersebut.

"Dr. Mahathir bukan seorang yang gila kuasa untuk menjadi Perdana Menteri semula. Beliau tahu keadaan ketika ini memerlukan beliau bersuara.

"Sebagai pemimpin yang telah mentadbir negara selama 22 tahun, berpengalaman luas tentang 'sepak terajang' politik, beliau berasa bertanggungjawab menyatakan apa yang tersurat dan tersirat," katanya.

Dalam perkembangan sama, Mohd. Hilmi kesal dengan sikap segelintir pemimpin Melayu yang sengaja memberi harapan palsu kepada parti-parti politik Cina demi kelangsungan dan agenda politik peribadi mereka.

"Selagi ada harapan palsu kononnya mereka juga boleh berkuasa, selagi itu parti-parti politik Cina akan berusaha tidak henti-henti untuk mencapainya sedangkan Melayu masih lagi merupakan kaum majoriti di negara ini," katanya.

No comments:

Post a Comment