Slideshow

GAGASAN MELAYU PERAK - Kearah Memertabatkan Bangsa, Agama dan Negara


Gagasan Melayu Perak (GMP) adalah sebuah persatuan bukan politik yang bertujuan untuk menyatukan orang Melayu Perak bagi mempertahan dan memperjuangkan kepentingan dan hak orang Melayu, Bahasa Melayu, Institusi Kesultanan Negeri Perak, Agama Islam dan Adat Istiadat Orang Melayu Perak. Ianya lahir dari resolusi Perhimpunan Melayu Perkasa yang dianjurkan oleh Persatuan Darul Ridzuan Di Selangor dan Wilayah Persekutuan dengan kerjasama pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan Negeri Perak pada 9hb Ogos, 2008 di Universiti Teknologi PETRONAS Tronoh. Persatuan Melayu Perak yang diberi nama Gagasan Melayu Perak (GMP) telah diluluskan pendaftarannya pada 17hb Mac 2009. Mesyuarat Agung Penubuhan GMP telah diadakan pada 20hb Jun 2009 di Hotel Heritage, Ipoh dirasmikan oleh Yang Amat Berbahagia Tun Dr. Mahathir Mohamad Mantan Perdana Menteri Malaysia.

Friday, July 30, 2010

KONTRAK SOSIAL DAN KEWARGANEGARAAN : KESAN KEPADA ORANG MELAYU DAN TINDAKAN MASA HADAPAN

Oleh : Norali Bin Nordin

Mukaddimah

Ini adalah Kertas Pandangan Gagasan Melayu Perak (GMP) mengenai isu-isu semasa yang melingkari umat Melayu khususnya di Perak.

Tujuan utama ia ditulis adalah untuk kegunaan pihak GMP di dalam merangka pelan bagi mana-mana pihak yang mempunyai agenda untuk kepentingan kaum Melayu.

Kertas ini juga ditulis khusus untuk diskusi Jawatankuasa Perundangan GMP.

Sejarah Sosial Kontrak

Seperti lazimnya dengan hal-hal yang berkaitan dengan falsafah (jurisprudence) politik dan perundangan, kebanyakkan teori dicitra cipta oleh orang Eropah.

Penulis tidak dapat melenyapkan rasa jengkel yang dialami semenjak mula-mula melangkah masuk ke Fakulti Undang-Undang UKM apabila terpaksa mempelajari akan kompleksnya pemikiran ahli-ahli falsafah Eropah yang tiada kena mengena dengan budaya dan cara hidup di Malaysia.

Ikatan sosial kontrak direkacipta oleh ahli-ahli pemikir di Eropah dan yang paling terkenal di antara mereka ialah Socrates seorang ahli falsafah Yunani yang kemudiannya dihukum mati oleh kerajaan Yunani.

Apabila diminta oleh rakan-rakan supaya melarikan diri dari bandar Athens tempat di mana beliau dijatuhkan hukuman mati ke sebuah bandar lain di dalam empayar Greek bagi mengelak daripada tertakluk kepada sistem perundangan bandar Athens, beliau dengan keras enggan berbuat demikian.

Ini adalah kerana beliau merasakan bahawa beliau terikat dengan sosial kontrak bandar Athens, memandangkan beliau sedar sejak dari kecil sehinggalah apabila beliau dewasa akan kebaikan sistem perundangan bandar Athens.

Sebelum wujudnya undang-undang, manusia hidup secara semulajadi di mana yang kuat akan menguasai yang lemah atau lebih dikenali sebagai undang-undang belantara (law of the jungle).

Namun, akibat daripada evolusi dunia, manusia mula mengamalkan sistem berkerajaan dan akhirnya sistem undang-undang telah digunapakai oleh setiap masyarakat di setiap negara di dunia, di mana dengannya teori sosial kontrak Socrates mula dipakai.

Manusia yang menganggotai masyarakat ini tidak pernah menandatangani mana-mana perjanjian dengan pihak kerajaan untuk mematuhi undang-undang yang digubal oleh kerajaan masing-masing.

Namun, setiap daripada kita seolah-olah diprogram untuk mematuhi undang-undang. Kita juga seolah-olah redha apabila dijatuhkan dengan hukuman berdasarkan undang-undang sesebuah negara itu. Inilah yang dinamakan sosial kontrak.

Sebagai contoh, kita tidak pernah menandatangani apa-apa perjanjian dengan pihak kerajaan untuk mematuhi Akta Lalu Lintas 1959 dan Kaedah-kaedah Lalu Lintas 1959. Namun, setiap daripada kita tahu bahawa apabila lampu trafik menyala merah semua kenderaan harus berhenti dan meneruskan perjalanan apabila lampu isyarat bertukar hijau. Setiap daripada kita juga tahu adalah salah untuk tidak berhenti apabila lampu merah dan tanpa ragu-ragu kita semua tahu bahawa ia adalah satu kesalahan dan boleh dihukum.

Sosial Kontrak Sebelum Kemerdekaan Malaysia

Sebelum pembentukan Malaysia yang termasuk di dalamnya Sabah, Sarawak, Singapura (kemudiannya keluar pada tahun 1965) dan Brunei (menarik diri sebelum pembentukan), Semenanjung Tanah Melayu, iaitu paksi pembentukan Malaysia tidak mempunyai satu undang-undang yang bersekutu.

Setiap negeri Tanah Melayu mempunyai undang-undang tersendiri mengikut negeri masing-masing dan secara total mengamal sistem feudalisma.

Oleh itu, rakyat Melayu (termasuk orang asli) dan pelawat (Cina, India dan pemegang kewarganegaraan British) yang menetap di negeri-negeri di Tanah Melayu secara sukarela menyerahkan diri mereka untuk tertakluk kepada undang-undang dan peraturan-peraturan yang digubal oleh Raja-Raja Melayu. Ini adalah ikatan sosial kontrak di antara Raja dan rakyatnya.

Oleh yang demikian, apabila Raja-Raja Melayu mengikat perjanjian dengan kerajaan British, tiada rakyat Melayu yang boleh membantah. Pelawat asing yang datang dari China dan India langsung tiada hak kerana mereka menurut undang-undang tidak mempunyai negara. Begitu juga dengan pemegang kewarganegaraan British yang bermastautin di sini pada ketika itu.

Jikapun ada yang membantah, bantahan mereka tidak akan membawa erti kerana secara dasarnya mereka tidak mempunyai apa-apa hak untuk berbuat sedemikian.

Sesungguhnya, secara undang-undang Raja-Raja Melayu mempunyai hak mutlak ke atas setiap inci tanah di dalam kerajaan baginda. Maka tercatatlah sejarah bagaimana Singapura, Melaka dan Pulau Pinang diserahkan kepada kerajaan British untuk ditadbir dengan bayaran sewaan kepada Raja-Raja Melayu.

Menyedari akan hakikat ini, maka apabila para intelek Melayu mula membuat gerakan kemerdekaan, mereka mengambil keputusan bahawa kemerdekaan yang diperjuangkan itu hendaklah dapat membendung kuasa dan hak Raja-Raja Tanah Melayu.

Sebagai bangsa Melayu yang terkenal dengan taat setia mereka kepada Raja-Raja, maka para intelek semampu boleh tidak mahu mengenepikan kuasa Raja-Raja dengan menubuh kerajaan republik. Malah, kuasa Raja-Raja Melayu sangat penting untuk meneruskan kelangsungan bangsa Melayu itu.

Oleh itu, inteligensia Melayu memilih untuk mengamalkan sistem demokrasi berparlimen dengan Raja berperlembagaan yang berteraskan kepada sistem di England.

Sosial Kontrak Sebelum Perang Dunia Kedua

Sebelum Perang Dunia Kedua tercetus, kebanjiran kaum Cina dan India ke Semenanjung Tanah Melayu menimbulkan fenomena baru di kalangan orang Melayu dan Raja-Raja yang menguasai mereka.

Secara dasarnya, orang Melayu tidak tahu cara bagaimana mahu menangani fenomena tersebut. Orang Melayu yang berharta melihat fenomena itu sebagai peluang membuat harta dengan mudah kerana kaum Cina dan India datang dengan pengetahuan asas.

Raja-Raja pula tidak merasakan bahawa terdapat jurang ekonomi di antara kaum Cina, India dan Melayu.

Penjajah British mengambil kesempatan ini dengan memecahkan ketiga-tiga kaum ini kepada jurusan yang tertentu. Misalannya, kaum Melayu berkerja sebagai petani, kaum Cina sebagai pelombong dan kaum India menjadi penoreh getah. Ini adalah juga merupakan ikatan sosial kontrak. Kesemua ini dilakukan bagi mendapat perolehan ekonomi untuk empayar British di samping kemudahan untuk mengawal ketiga-tiga kaum ini.

Di satu ketika, pecahan penduduk kaum Cina dan India adalah lebih tinggi daripada penduduk asal Semenanjung Tanah Melayu itu sendiri.

Sosial Kontrak Selepas Perang Dunia Kedua

Selepas Perang Dunia Kedua, akibat kekalahan dan kerugian perang yang dialami, empayar British tidak lagi mahu menanggung kos pentadbiran di negara-negara yang mereka jajahi.

Pada waktu tersebut empayar British lebih menumpukan perhatian mereka kepada pembinaan semula England akibat daripada kerosakan Perang Dunia Kedua.

Satu persatu negara yang mereka jajahi telah diberi kemerdekaan. Di kebanyakkan negara yang dijajahi, pemasyhuran kemerdekaan ke atas mereka adalah mudah kerana negara-negara tersebut hanya diduduki oleh peribumi. Maka, dengan mudah kewarganegaraan peribumi tersebut diberikan.

Namun begitu, perkara yang sama tidak begitu mudah di Semenanjung Tanah Melayu. Empayar British terjerat dengan polisi membawa pendatang asing dengan jumlah yang signifikan ke Semenanjung Tanah Melayu.

Sebagai empayar yang menjajah melalui peruntukan undang-undang, mereka sangat faham bahawa Semenanjung Tanah Melayu adalah milik bangsa Melayu.

Ini dibuktikan dengan perjanjian demi perjanjian yang telah ditandatangani oleh pihak British dengan Raja-Raja Melayu seperti Perjanjian Penyewaan Pulau Pinang dengan Sultan Kedah, Perjanjian Singapura dengan Sultan Johor, Perjanjian Pangkor dengan Sultan Perak dan sebagainya.

Jika empayar British mengiktiraf kaum-kaum Cina dan India sebagai penduduk asal Semenanjung Tanah Melayu sudah tentu British akan memasuki perjanjian-perjanjian tersebut dengan ketua-ketua kaum tersebut.

Oleh itu, isu pemberian kemerdekaan kepada Semenanjung Tanah Melayu menjadi rumit kerana British menjangkakan akan ada tentangan daripada kaum Melayu apabila isu pemberian kewarganegaraan kepada kaum-kaum Cina dan India dibangkitkan.

Perlu diingat bahawa empayar British jatuh muflis selepas Perang Dunia Kedua. Mereka perlu memastikan bahawa kaum-kaum Cina dan India diterima oleh orang Melayu sebagai warganegara. Jika tidak, mereka harus bertanggungjawab ke atas krisis kemanusiaan yang bakal dihadapi oleh berjuta kaum Cina dan India yang telah mereka bawa masuk ke Semenanjung Tanah Melayu.

Dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) baru dinobatkan sebagai pembawa keamanan dunia, di mana empayar British adalah pelobi pertubuhan tersebut, maka empayar British menjangkakan bahawa PBB akan memaksa mereka menerima kaum-kaum Cina dan India sebagai warganegara British.

Tatkala England pula telah separuh musnah akibat peperangan, oleh itu empayar British tidak mempunyai kapasiti untuk menerima masuk orang Cina dan India dari Semenanjung Tanah Melayu sekurang-kurangnya sehingga tempoh tertentu. Pilihan yang ada adalah untuk memastikan kaum Melayu menerima kaum-kaum Cina dan India sebagai warganegara Tanah Melayu.

Kaedah yang digunakan supaya kaum Melayu menerima kaum-kaum Cina dan India sebagai warganegara adalah sangat halus. Ia adalah pendekatan REVERSE PSYCHOLOGY yang sangat klasik.

Empayar British sedar bahawa kaum Melayu sudah mempunyai kesedaran politik. Melalui para intelek yang sedikit jumlahnya kaum Melayu sudah mula menubuhkan persatuan-peratuan untuk memperjuangkan nasib mereka. Kesatuan Melayu Muda adalah antara yang terawal diikuti oleh PEKEMBAR dan sebagainya.

Oleh itu, empayar British mula memainkan semangat perjuangan kaum Melayu. Sekembalinya mereka selepas kejatuhan Jepun di Semenanjung Tanah Melayu, British terus mengacah orang Melayu dengan mengumumkan Malayan Union, di mana soal kewarganegaraan kepada kaum Cina dan India dibangkitkan.

Ternyata pengumuman itu telah membakar semangat perjuangan orang Melayu. Orang Melayu berjaya merapatkan barisan untuk menolak Malayan Union.

Dalam waktu yang sama, empayar British berlakon seolah-olah mahu tinggal lebih lama di Tanah Melayu. Seolah-olah kemerdekaan tidak akan menjadi kenyataan di Tanah Melayu.

Perlu diingat pada zaman itu, para intelek Melayu kebanyakannya baru kembali ke Tanah Melayu setelah belajar di seberang laut. Mereka menyaksikan sendiri bagaimana negara-negara jajahan empayar British mendapat kemerdekaan.

Oleh itu, semangat mereka berkobar-kobar untuk mendapatkan kemerdekaan di tanah air sendiri. Seperti yang pernah penulis sebut di kertas kerja yang lepas, orang melayu sangat suka mengikut trend.

Empayar British sememangnya mahu gerakan kemerdekaan dilakukan oleh kaum Melayu agar British boleh menekan syarat-syarat Perjanjian Kemerdekaan yang menyebelahi mereka.

Untuk menyemarakkan lagi semangat pejuang kemerdekaan, British membiarkan pengganas komunis melakukan huru-hara dengan sewenang-wenangnya. Jika difikirkan, Parti Komunis Malaya [yang dikenali sebagai Malayan People Anti Japanese Army (MPAJA) sewaktu zaman Jepun] telah memasuki hutan Malaya sewaktu Jepun menyerang lagi.

Empayar British adalah pihak yang bertanggungjawab melatih dan memberikan senjata kepada ahli-ahli Parti Komunis Malaya di dalam hutan-hutan di Tanah Melayu sebagai penentangan kepada askar-askar Jepun.

Masakan dengan latihan yang diberikan sendiri oleh British dan senjata yang mereka bekalkan, namun British tidak berupaya menentang pengganas komunis?

Akhirnya, apabila semangat kaum Melayu sudah terlalu tinggi untuk mengecapi kemerdekaan tanpa mengangkat senjata, maka empayar British mula sudi duduk bersama-sama ketua-ketua kaum Melayu bagi menggariskan Perjanjian Kemerdekaan.

Akhirnya, melalui kebijaksanaan mereka, empayar British berjaya membuat kaum Melayu menerima pendatang asing Cina dan India sebagai warganegara Malaysia dengan jumlah yang sangat banyak iaitu satu juta kaum Cina dan India yang langsung tidak mengamalkan adat resam Melayu dan tidak tahu berbahasa Melayu sebagai balasan kepada kemerdekaan Tanah Melayu.

Bagi memastikan kaum Melayu menerima pendatang asing ini sebagai warganegara Tanah Melayu, British menggariskan hak-hak keistimewaan kepada kaum Melayu.

Sementara itu, bagi memastikan pula pendatang asing Cina dan India menerima kewarganegaraan ini, British menggariskan pula hak-hak orang Cina dan India sebagai warganegara Tanah Melayu. Maka, tergarislah ikatan sosial kontrak Malaysia moden dalam bentuk Perlembagaan Persekutuan. Satu-satunya ikatan sosial kontrak di dalam dunia yang ditandatangani oleh pihak-pihak yang berkaitan.

Begitulah kebijaksanaan empayar British menyelamatkan kemusnahan empayar mereka. Siapakah yang paling rugi? Sudah tentulah kaum Melayu. Kaum Melayu merasakan mereka mengambil langkah bijak untuk memberikan kewarganegaraan kepada pendatang asing dengan objektif mendapatkan kemerdekaan. Namun, hari ini nasib bangsa Melayu bagai melukut di tanah sendiri.

Namun begitu, kaum Melayu tidak harus dipersalahkan sepenuhnya dalam hal ini. Di samping itu, fakta sejarah ini harus diperinci semula. Sebagai bangsa Melayu kita harus bertanya adakah nasib kita akan sebegini daif jika sekiranya kita dapat mengubah sejarah dan menguasai sepenuhnya ekonomi negara?

Kewarganegaraan Dan Sosial Kontrak Malaya

Konsep kewarganegaraan diperkenalkan pada zaman Yunani kuno oleh masyarakat-masyarakt kecil yang mendiami polis (bandar) di Yunani.

Namun, pada waktu tersebut konsep kewarganegaraan adalah lebih kepada apa yang boleh disumbangkan oleh rakyat kepada komuniti. Ini bermaksud, untuk menjadi warganegara sesuatu komuniti rakyat harus memberikan sumbangan kepada masyarakat di mana ia menjadi warganegara. Jika sumbangan seseorang itu tidak mencukupi, maka dengan sendirinya ia terlucut daripada menjadi warganegara.

Berbeza dengan konsep kewarganegaraan moden, di mana kerajaan harus memastikan rakyatnya mendapat hak-hak yang digariskan sebagai warganegara.

Terdapat berbagai jenis kewarganegaraan, dalam konteks Malaya. Kaum Melayu mendapat kewarganegaraan kerana mereka adalah penduduk asal dan dilahirkan di Tanah Melayu. Jenis kewarganegaraan sebegini dinamakan jus soli.

Bagi pendatang asing Cina dan India yang bukannya penduduk asal Tanah Melayu, mereka harus menandatangani borang yang disediakan di mana terdapat sumpah ikrar taat setia secara formal sebelum diterima sebagai warganegara Tanah Melayu.

Seterusnya, keturunan pendatang asing tersebut mengikut konsep kewarganegaraan moden akan diterima sebagai warganegara secara otomatik. Keturunan mereka tidak lagi perlu mengangkat sumpah ikrar taat setia. Walaupun mereka masih belum tahu berbahasa Melayu yang diangkat sebagai bahasa kebangsaan dan tidak mengamalkan adat resam kaum peribumi, mereka tetap diterima sebagai warganegara Tanah Melayu (nama modennya Malaysia). Jenis kewarganegaraan ini dinamakan sebagai jus sanguinis.

Walaupun manisfesto Parti Perikatan menyatakan pemberian kerakyatan secara jus soli kepada sejuta pendatang asing namun dari perspektif undang-undang ianya boleh dipertikaikan berdasarkan kepada tempat lahir, bahasa, pendidikan dan ras wajah yang jauh berbeza dari kaum pribumi.

Apapun jenis kewarganegaraan yang diperolehi, sosial kontrak adalah ikatan am di antara warganegara Tanah Melayu (termasuk kaum-kaum Cina dan India) untuk menyerahkan diri kepada undang-undang dan Institusi Tanah Melayu.


Toleransi Orang Melayu

Orang Melayu terkenal dengan sikap toleransi yang amat tinggi terhadap bangsa asing tetapi tidak kepada bangsa sendiri. Sikap ini adalah kelemahan ketara bangsa Melayu itu sendiri.

Sebagai contoh, orang Melayu sanggup membeli barang-barang runcit di satu-satunya kedai bangsa Cina di dalam kampung mereka. Walaupun ada kedai yang dibuka oleh orang yang sebangsa, seagama dan sebahasa, namun kedai barang runcit bangsa Cina tetap boleh hidup di dalam kampung orang Melayu.

Jika difikir dengan lebih mendalam lagi, mengapa kedai runcit orang Cina ini boleh bertahan berpuluh-puluh tahun di pasaran majoriti kaum Melayu sedangkan kedai runcit orang Melayu tenggelam timbul ?

Ini terjadi kerana kaum Melayu menyokong perniagaan kaum Cina tersebut. Kaum Melayu bertoleransi dengan bangsa asing dengan membeli di kedai mereka, tetapi meletak penilaian yang tinggi tanpa mahu sedikit pun bertoleransi kepada kedai kaum Melayu sendiri. Kesilapan kecil yang berlaku di kedai orang Melayu akan menyebabkan kedai tersebut di boikot.

Berbagai alasan ditimbulkan untuk tidak membeli di kedai orang Melayu. Kononnya, barang di kedai orang Melayu lebih mahal. Pemilik kedai ada pakai mandrum dan sebagainya. Sesungguhnya, psikologi kaum Melayu itu sendiri yang mengata dan memburukkan rakan sebangsa. Sikap ini sangat berlawanan dengan agama Islam yang mereka anuti.

Untuk rujukan, bangsa Yahudi mengamalkan sikap yang terbalik iaitu bertoleransi dengan bangsa sendiri tetapi mengamalkan double standard terhadap bangsa asing. Terbukti bangsa Yahudi adalah bangsa yang paling berpengaruh di dunia walaupun jumlah mereka adalah sangat kecil.

Empayar British sedar akan kelemahan sikap kaum Melayu ini. Mereka amat pasti kaum Melayu akan bersetuju menerima bangsa asing yang tiada pertalian darah dan tidak menganuti agama yang sama untuk sama-sama tinggal di bumi mereka.

Perlu difahami bahawa dalam konsep kenegaraan moden, menjadi warganegara bermakna seseorang itu akan mendapat hak yang digariskan oleh kerajaan masing-masing. Hak ini termasuk hak mengundi, hak memiliki harta, hak mendapatkan perubatan, hak mengamal agama dan lain-lain.

Hal ini adalah sangat berbeza dengan konsep kewarganegaraan asal yang diamalkan oleh orang Yunani purba. Jika konsep Yunani purba yang dipelopori oleh Aristotle menjadi amalan, maka secara am ramai daripada sejuta bangsa Cina dan India yang diberi kewarganegaraan tidak layak menerimanya kerana mereka tidak menyumbang kepada komuniti asal tempat itu. Mereka tidak fasih berbahasa asal. Bangsa Cina dan India hanya menumpu kepada bangsa mereka sendiri tanpa mahu mengasimilisasikan bangsa mereka dengan bangsa asal bumi tersebut. Maka, mereka dengan sendirinya terlucut daripada menjadi warganegara.


Tindakan Masa Hadapan

Selepas keputusan Pilihanraya Ke-12 diumumkan, satu suasana baru yang huru-hara telah timbul.

Secara tiba-tiba kaum Cina dan India merasakan mereka boleh menguasai politik Malaysia yang didominasi kaum Melayu.

Rakyat di depani dengan pertubuhan yang kononnya memperjuangkan hak asasi manusia serta mula menyoal pemakaian sosial kontrak.

Kebanyakan mereka menyatakan bahawa sosial kontrak tidak wujud di Malaysia dan tidak wujud isu hak istimewa kaum Melayu serta perkara-perkara yang dilembagakan oleh ahli-ahli politik dahulu sebenarnya sekadar wayang dan propaganda parti pemerintah. Soalnya haruskah kaum Melayu berterusan bersikap toleransi terhadap bangsa asing?

Benarkah sosial kontrak tidak wujud? Seperti yang dibahaskan oleh penulis dengan panjang lebar di atas, seluruh dunia mengetahui bahawa sosial kontrak bukanlah suatu dokumen yang wujud. Ia hanyalah suatu konsep yang menunjukkan ikatan sosial di antara warganegara dengan negaranya untuk mematuhi undang-undang dan institusi yang mendaulatkan negara tersebut.

NAMUN, Malaysia adalah satu-satunya negara di dunia yang mendokumentasi sosial kontrak, di mana ia ditandatangani oleh pihak-pihak yang berkaitan.

Bagaimanakah masyarakat Melayu harus menerima keadaan ini? Haruskah kaum Melayu duduk dan lihat nasib bangsa mereka ditentukan oleh bangsa lain?

Penulis percaya ketika Bapa Kemerdekaan Malaysia mengumumkan untuk memberi sejuta kewarganegaraan kepada bangsa asing sudah tentu ada pihak yang membantah. Penulis juga percaya bantahan tersebut tidak mendapat tempat kerana senario yang terdesak untuk merdeka yang ditimbulkan oleh empayar British.

Apabila bangsa pendatang yang diberi kewarganegaraan mempersoalkan akan kewujudan sosial kontrak, orang Melayu sama sekali tidak harus merasa marah. Orang Melayu harus melihat pertikaian ini sebagai suatu peluang untuk mengubah sejarah dan mengambil kembali hak kita yang dirompak oleh pendatang-pendatang ini.

Suatu tindakan mahkamah harus dilakukan oleh kaum Melayu. Tindakan ini adalah untuk menuntut agar mahkamah mengisytiharkan bahawa sosial kontrak tidak wujud di Malaysia seperti yang dimahukan oleh kaum-kaum Cina dan India. Mengapa?

Yang pertama, semasa Perjanjian Merdeka kaum Melayu yang dianggap peribumi oleh empayar British diselingkuh untuk menerima kaum-kaum lain sebagai warganegara. Namun, apabila pihak-pihak yang berkontrak sudah tidak mahu lagi terikat dengan kontrak, maka undang-undang membenarkan jalan keluar iaitu mengisytiharkan kontrak tersebut tidak lagi berkuatkuasa.

Untuk berbuat demikian, suatu pengisytiharan oleh Mahkamah diperlukan untuk menjadikannya sebagai ikatan undang-undang.

Apabila mahkamah mengisytiharkan bahawa sosial kontrak itu tidak wujud, maka dengan sendirinya hak-hak yang terdapat di dalam sosial kontrak tersebut juga akan terbatal. Ini bererti pengisytiharan berhubung dengan sosial kontrak itu secara otomatik akan membatalkan hak kewarganegaraan, hak mengundi, hak memiliki harta dan hak-hak lain.

Yang Kedua, kaum Cina dan India juga sebenarnya telah melanggar kontrak sosial itu. Memang benar manifesto pertama Parti Perikatan yang terdiri daripada Parti Umno, MCA dan MIC telah menyatakan dengan jelas pemberian hak kerakyatan atas dasar jus soli. Namun,di atas, penulis telah menerangkan dan membuktikan bahawa kewarganegaraan yang diberikan kepada sejuta kaum Cina dan India adalah melalui ikrar sumpah taat setia untuk mematuhi undang-undang dan institusi negara sementara keturunan mereka pula memperolehi kewarganegaraan melalui jus sanguinis bukan secara jus soli. Memandangkan kewarganegaraan melalui proses ini adalah secara otomatik dan berkuatkuasa kepada keturunan mereka, maka ikrar taat setia itu juga akan turun secara otomatik kepada anak, cucu, cicit dan keturunannya.

Apabila mereka mempertikaikan sosial kontrak yang didokumentasi sebagai Perlembagaan Persekutuan, maka mereka juga telah melanggar sumpah untuk mematuhi undang-undang negara ini. Apatah lagi yang dilanggar itu adalah undang-undang tertinggi negara ini, iaitu Perlembagaan Persekutuan.

Mereka juga melanggar sumpah untuk mematuhi institusi negara. Harus difahami bahawa kesemua institusi negara, seperti Raja Berperlembagaan, Mahkamah, Perdana Menteri, Kabinet dan lain-lain kesemuanya diwujudkan melalui Perlembagaan Persekutuan. Maka, mempertikaikan sosial kontrak bermaksud mempertikaikan Perlembagaan Persekutuan itu sendiri dan secara langsung mereka mempertikaikan institusi negara yang membawa maksud pembatalan kewarganegaraan.

Sungguhpun perlanggaran sosial kontrak bukan dilakukan oleh sejuta kumpulan pertama yang menerima kewarganegaraan melalui ikrar taat setia mereka, namun oleh kerana ikrar itu telah menurun ke cucu-cicit mereka, maka perlanggaran yang dilakukan oleh keturunan mereka itu seolah-olah dilakukan sendiri oleh kumpulan pertama tadi. Ini juga bermaksud bahawa keturunan kumpulan yang pertama sudah tidak lagi boleh menjadi warganegara secara otomatik kerana kewarganegaraan asal yang diberi kepada nenek moyang mereka melalui sumpah taat setia telah terbatal akibat perlanggaran cucu-cicit mereka sekarang.

Yang Ketiga, penulis berasa sangsi samada pengisytiharan sejuta kewarganegaraan itu adalah sah di sisi undang-undang sebelum merdeka. Ini adalah kerana seperti yang disebut di atas, empayar British menjajahi Tanah Melayu melalui undang-undang. Walaupun Raja-Raja Melayu banyak membuat Perjanjian dengan empayar British, namun tidak ada suatu pun perjanjian yang menyerahkan kedaulatan wilayah Raja-Raja Melayu kepada empayar British. Ini bermakna Residen British memerintah Tanah Melayu secara de facto (in actual). Oleh itu, kuasa memerintah de legist (in law) adalah senantiasa menjadi hak Raja-Raja Melayu di negeri masing-masing.

Bukti utama penulis mengatakan demikian adalah kerana pada tarikh 5hb Ogos 1957, empayar British terpaksa memanggil kesemua Raja-Raja Melayu Bersekutu dan Tidak Bersekutu untuk menandatangani suatu perjanjian bagi menyerahkan kuasa de legist itu kepada Empayar British. Empayar British pula menyerahkan kuasa de legist itu kepada rakyat Tanah Melayu pada 31hb Ogos, 1957 yang kita kenali sebagai kemerdekaan.

Ya, kita bukan merdeka pada 31hb Ogos 1957. Itu hanyalah propaganda empayar British bagi menunjukkan kepada dunia bahawa mereka telah memerintah Tanah Melayu. Kemerdekaan sebenar adalah pada 5hb Ogos 1957, di mana kita dimerdekakan oleh Raja-Raja Melayu daripada sistem feudalisma kepada system demokrasi berparlimen dan Raja Berperlembagaan. Tahukah kita bahawa pada setiap masa sebelum merdeka empayar British tidak boleh memutuskan, menghukum atau memerintah sesuatu tanpa tandatangan Raja-Raja Melayu?

Oleh yang demikian, status quo adalah bahawa Raja-Raja Melayu mempunyai kuasa mutlak terhadap subjek mereka di negeri masing-masing. Ini termasuklah kuasa memberi kewarganegaraan. Oleh yang demikian, perjanjian bertarikh 5hb Ogos 1957 itu hendaklah diteliti untuk mengetahui samada setiap Raja-Raja Melayu yang mewakili negeri masing-masing ada memberi hak menyerahkan kewarganegaraan kepada Perdana Menteri Malaya untuk diberi kepada sejuta kaum Cina dan India.

Yang Keempat, apabila suatu isu dibawa ke mahkamah, maka mahkamah hendaklah memutus dan mengisytiharkan isu tersebut.

Signifikasinya kepada kaum Melayu ialah, jika isu sosial kontrak ini diisytiharkan sebagai tidak wujud oleh mahkamah, maka kaum Melayu akan mendapat kembali segala peluang yang dirompak daripada mereka semasa Tanah Melayu dibahagi-bahagikan kepada pendatang-pendatang asing.

Namun, jika isu bahawa sosial kontrak itu tidak wujud ditolak, kaum Melayu masih tetap mendapat kebaikannya kerana penolakan memberi erti bahawa ia wujud. Oleh yang demikian, segala hak keistimewaan kaum Melayu yang digariskan oleh Perlembagaan Persekutuan kekal dan tidak lagi boleh dipertikaikan oleh sesiapa termasuk oleh bangsa Melayu itu sendiri. Mempertikai keputusan mahkamah adalah perbuatan menghina mahkamah yang boleh dihukum penjara.

RUMUSAN

Kaum Melayu dan kaum pendatang Cina dan India tidak bersalah di dalam isu sosial kontrak ini. Sebenarnya, ketiga-tiga bangsa yang besar ini telah diperdaya untuk berbuat demikian oleh empayar British demi memastikan British tidak dibanjiri pendatang-pendatang asing dari Tanah Melayu.

Sebenarnya, kaum Cina dan India sendiri tidak mahu menjadi warganegara Malaysia.

Contohnya, aspirasi GMP ini dikongsi oleh Hindraf yang mewakili kaum India. Ini terbukti dengan tuntutan Hindraf kepada Ratu England “… bahawa kaum India telah dipanggil oleh British untuk bekerja di ladang-ladang getah milik British. Namun apabila British memberi kemerdekaan kepada Tanah Melayu kaum India telah ditinggalkan oleh British di Tanah Melayu. Perkara ini telah menyebabkan kaum India ditindas dan tidak diberi peluang yang sewajarnya. Oleh yang demikian Hindraf menuntut supaya Ratu England membayar wang gantirugi kepada setiap kaum India yang ditinggalkan di Tanah Melayu”.

Jelas sekali, tuntutan Hindraf menggambarkan bahawa mereka tidak bersedia untuk menjadi warganegara Malaya. Kaum India melalui Hindraf mahu empayar British bertanggungjawab di atas perbuatan mereka meninggalkan kaum India di sebuah negara asing yang tiada kena mengena dengan budaya mereka. Mungkin, memberi kewarganegaraan British adalah lebih dipersetujui oleh kaum India kerana British jauh lebih maju daripada Tanah Melayu.

Di samping itu, kaum Melayu juga harus mengambil pendekatan Hindraf. Kaum Melayu sepatutnya menuntut Ratu England supaya membayar gantirugi kepada mereka kerana akibat perbuatan empayar British meninggalkan kaum-kaum Cina dan India di Malaya, yang akhirnya mengakibatkan kaum Melayu kehilangan peluang yang besar di dalam hal-hal ekonomi, universiti, tempat bekerja, keluasan tempat kediaman yang mengecil akibat penambahan penduduk yang ramai dan sebagainya.

Melalui rumusan-rumusan yang dilakukan di atas, maka penulis sesungguhnya menyeru ahli-ahli Jawatankuasa Perundangan berdiskusi dan mengambil suatu ketetapan untuk dibawa kepada Mesyuarat Jawatankuasa GMP tentang perkara ini.

3 comments:

  1. Orang Melayu ini bodoh dan malas.
    Melayu mudah lupa ...........

    ReplyDelete
  2. melayu takut dengan bayang2 sendiri, takutkan persaingan, sentiasa mahu dimanjakan, no survival instinct...akhirnya gaduh sesama sendiri. dunia ini bukan hanya kerana melayu tapi kerana kemanusiaan. jgn lupa satu perkara, di mata Allah swt tiada bangsa, status, warna kulit etc..cuma ada satu bangsa, bangsa manusia.

    ReplyDelete
  3. ...good info..tqvm.

    ReplyDelete