Slideshow

GAGASAN MELAYU PERAK - Kearah Memertabatkan Bangsa, Agama dan Negara


Gagasan Melayu Perak (GMP) adalah sebuah persatuan bukan politik yang bertujuan untuk menyatukan orang Melayu Perak bagi mempertahan dan memperjuangkan kepentingan dan hak orang Melayu, Bahasa Melayu, Institusi Kesultanan Negeri Perak, Agama Islam dan Adat Istiadat Orang Melayu Perak. Ianya lahir dari resolusi Perhimpunan Melayu Perkasa yang dianjurkan oleh Persatuan Darul Ridzuan Di Selangor dan Wilayah Persekutuan dengan kerjasama pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan Negeri Perak pada 9hb Ogos, 2008 di Universiti Teknologi PETRONAS Tronoh. Persatuan Melayu Perak yang diberi nama Gagasan Melayu Perak (GMP) telah diluluskan pendaftarannya pada 17hb Mac 2009. Mesyuarat Agung Penubuhan GMP telah diadakan pada 20hb Jun 2009 di Hotel Heritage, Ipoh dirasmikan oleh Yang Amat Berbahagia Tun Dr. Mahathir Mohamad Mantan Perdana Menteri Malaysia.

Thursday, July 15, 2010

Harapan tinggi kepada Perhimpunan Melayu Perak

Oleh SITI MARIAM MD. ZAIN
pengarang@utusan.com.my

ESOK (Sabtu) pada pukul 9 pagi, akan berlangsung Perhimpunan Melayu Perak di Dewan Bankuet Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Ipoh.

Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria dijadual merasmikan program yang diharap dapat menghimpunkan seluruh orang Melayu negeri itu. Sesuai dengan tema perhimpunan 'Menyemarakkan Semangat Kebangkitan Bangsa Melayu', pemilihan Harussani dilihat mampu menjadi lambang penyatuan orang Melayu yang kini berhadapan dengan krisis perpecahan.

Menurut Presiden Gagasan Melayu Perak (GMP), Datuk Seri Mohd. Hilmi Ismail iaitu pihak yang bertanggungjawab menganjurkan program berkenaan, usaha menghimpunkan orang Melayu itu merupakan kali kedua diadakan. ''Kali pertama perhimpunan yang hampir serupa dianjurkan ialah ketika orang Melayu seolah-olah hilang arah selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 menyaksikan banyak kerusi yang sepatutnya menjadi milik Melayu tewas.

''Keadaan orang Melayu ketika itu terumbang-ambing. Tidak wujud satu titik pertemuan untuk dapat menstabilkan keadaan. Sehinggalah beberapa orang Melayu tampil dan mengadakan perhimpunan.

''Pada akhir resolusi, tertubuhlah Kesatuan Melayu Perak yang kemudiannya didaftarkan dengan nama GMP pada Mac 2009," katanya. Hari ini, setelah lebih setahun berlalu, masalah orang Melayu yang sering berpecah akibat perbezaan ideologi politik masih terus berlaku.

Keadaan itu jika dibiarkan, dilihat hanya merugikan bangsa kerana ia memberi ruang kepada pihak-pihak tertentu mengambil kesempatan menuntut pelbagai hak yang selama ini diertikan sebagai milik orang Melayu. Natijahnya, hak istimewa Melayu dalam semua bidang terus dipersoalkan. Kedudukan agama Islam sebagai agama rasmi masih diperkecilkan malah institusi kesultanan dan raja-raja Melayu semakin kerap dipersendakan.

''Kejujuran dan kesudian orang Melayu menerima kaum-kaum lain sebagai rakyat dan sama-sama merasai nikmat kemakmuran dan keamanan negara langsung tidak dihargai. ''Maka perhimpunan ini bertujuan mahu mengingatkan, menyedarkan dan menginsafkan orang Melayu sendiri bahawa kita ada hak dalam Perlembagaan dan hak-hak ini mesti dipelihara sampai bila-bila," katanya.

Untuk memastikan hak-hak tersebut tidak terus diganggu-gugat oleh pihak lain, kata Mohd. Hilmi, orang Melayu sendiri harus sanggup mengetepikan kepentingan diri untuk memastikan kuasa yang ada dapat dikekalkan. ''Usaha-usaha yang sedang dijalankan iaitu mencari titik pertemuan di antara UMNO dan Pas juga dilihat sebagai harapan kepada masa depan bangsa dan seharusnya mendapat maklum balas yang baik," kata beliau lagi.

Hakikatnya, Perlembagaan Malaysia mempunyai satu peruntukan khas di bawah Perkara 153 bertujuan memelihara orang Melayu serta bumiputera di Sabah dan Sarawak. Perkara inilah yang menjadi paksi Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang diasaskan oleh Allahyarham Tun Abdul Razak untuk memastikan keselamatan negara terjamin dan rakyatnya hidup dalam keadaan harmoni.

''Tetapi kaum-kaum bukan Melayu yang lebih beruntung hasil DEB langsung tidak menghormati matlamat dasar ini dan terus-menerus menidakkan hak dan peluang orang Melayu di tanah air sendiri. ''Oleh yang demikian, GMP mengajak semua orang Melayu tanpa mengira kedudukan dan fahaman politik untuk bersatu mempertahan dan memperjuangkan hak-hak orang Melayu," tegasnya.

Apa yang diharapkan Mohd. Hilmi ialah agar perhimpunan kedua yang diadakan di ketika orang Melayu terus bersengketa sesama sendiri ini akan dapat menghasilkan satu ikatan kukuh demi masa depan bangsa itu sendiri. Jika orang Melayu dapat meluangkan sedikit masa untuk sama-sama melontarkan buah fikiran, pandangan dan pendapat masing-masing, tidak mustahil perhimpunan ini bakal mencipta satu lagi sejarah bangsa agar Melayu hari ini tidak dipersalahkan atas kesengsaraan anak cucu nanti.

No comments:

Post a Comment