Slideshow

GAGASAN MELAYU PERAK - Kearah Memertabatkan Bangsa, Agama dan Negara


Gagasan Melayu Perak (GMP) adalah sebuah persatuan bukan politik yang bertujuan untuk menyatukan orang Melayu Perak bagi mempertahan dan memperjuangkan kepentingan dan hak orang Melayu, Bahasa Melayu, Institusi Kesultanan Negeri Perak, Agama Islam dan Adat Istiadat Orang Melayu Perak. Ianya lahir dari resolusi Perhimpunan Melayu Perkasa yang dianjurkan oleh Persatuan Darul Ridzuan Di Selangor dan Wilayah Persekutuan dengan kerjasama pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan Negeri Perak pada 9hb Ogos, 2008 di Universiti Teknologi PETRONAS Tronoh. Persatuan Melayu Perak yang diberi nama Gagasan Melayu Perak (GMP) telah diluluskan pendaftarannya pada 17hb Mac 2009. Mesyuarat Agung Penubuhan GMP telah diadakan pada 20hb Jun 2009 di Hotel Heritage, Ipoh dirasmikan oleh Yang Amat Berbahagia Tun Dr. Mahathir Mohamad Mantan Perdana Menteri Malaysia.

Saturday, July 17, 2010

Melayu hilang kuasa pada PRU-13?


HARUSSANI Zakaria (kanan) bersama Hilmi Ismail ketika sidang akhbar pada Perhimpunan Melayu Perak 2010 di Ipoh, semalam.

Oleh SITI MARIAM MD. ZAIN utusanperak@utusan.com.my

IPOH 17 Julai - Orang Melayu akan hilang kuasa pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) jika UMNO dan Pas terus berdegil untuk tidak bersatu.

Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria yang melahirkan kebimbangan tersebut berkata, kedegilan kedua-dua parti Melayu terbabit untuk meletakkan keutamaan agama di tempat sepatutnya hanya akan memberi kesan buruk kepada masa depan orang Melayu sendiri.

''Kalau kita terus berpecah-belah, kita akan terima kekalahan (pada PRU-13), itu sahaja. Dan akan berlaku satu bentuk penjajahan baru," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Perhimpunan Melayu Perak 2010 di Dewan Bankuet Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di sini hari ini.

Hadir sama dalam perhimpunan sehari anjuran Gagasan Melayu Perak (GMP) itu ialah presidennya, Datuk Seri Mohd. Hilmi Ismail.

Harussani menegaskan, pemimpin Melayu perlu sedar bahawa mereka memikul tanggungjawab memastikan kepentingan orang Melayu terjamin.

''Adakah agama yang mengajar kita suruh berdegil? Sedangkan degil itu adalah sifat keji dalam Islam. Kalau itu sifat keji, kenapa tidak dibuang daripada diri kerana ia tidak akan menguntungkan diri.

''Kalau dia pemimpin, dia tidak akan menguntungkan rakyat. (Sedangkan) bila jadi ketua, amanah untuk menjaga ummah itu kewajipan dia. Kalau dia berdegil, amanah tiada pada dia, rakyat akan hancur," ujar beliau.

Ditanya apakah masih ada harapan untuk orang Melayu khususnya membabitkan UMNO dan Pas bangkit dan bersatu semula jawabnya:

''Insya-Allah disebabkan kedua-dua puak (parti) ini mempunyai keinginan hendak bersatu.

''Ada pemimpin Pas datang berjumpa saya, begitu juga pemimpin UMNO. Mereka minta pandangan bagaimana untuk disatukan (kedua-dua parti)."

Mengulas lanjut kata Harussani, penyatuan masih tidak dapat dilakukan sehingga hari ini kerana kedua-dua pihak telah meletakkan faktor keutamaan di tempat yang salah.

''Saya percaya tujuan orang Pas memperjuangkan Islam ikhlas tapi meletakkan (keutamaan) di tempat yang salah. Mereka taksub sebab tidak faham. Orang UMNO serupa juga.

''Kalau kedua-dua parti memahami faktor keutamaan itu, apa yang perlu diutamakan? Keutamaan adalah agama dahulu dan agama tidak menyuruh kita membenci sesama umat Islam bahkan kasih-mengasihi sesama kita," katanya.

Dalam perkembangan sama, Harussani berkata, langkah GMP menganjurkan perhimpunan seumpama itu dapat membantu menyatupadukan orang Melayu.

Sementara itu, Mohd. Hilmi menegaskan, perlunya satu perhimpunan Melayu membabitkan semua lapisan masyarakat termasuk raja-raja dan pemimpin parti politik sendiri untuk melahirkan semangat Melayu dalam menyata dan memperjuangkan hak mereka seperti termaktub di dalam Perlembagaan Negara.

''Cara ini dapat menginsafkan pemimpin-pemimpin Pas dan UMNO yang masih berdegil dan tidak memikirkan tentang masa depan orang Melayu," katanya.

Thursday, July 15, 2010

Harapan tinggi kepada Perhimpunan Melayu Perak

Oleh SITI MARIAM MD. ZAIN
pengarang@utusan.com.my

ESOK (Sabtu) pada pukul 9 pagi, akan berlangsung Perhimpunan Melayu Perak di Dewan Bankuet Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Ipoh.

Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria dijadual merasmikan program yang diharap dapat menghimpunkan seluruh orang Melayu negeri itu. Sesuai dengan tema perhimpunan 'Menyemarakkan Semangat Kebangkitan Bangsa Melayu', pemilihan Harussani dilihat mampu menjadi lambang penyatuan orang Melayu yang kini berhadapan dengan krisis perpecahan.

Menurut Presiden Gagasan Melayu Perak (GMP), Datuk Seri Mohd. Hilmi Ismail iaitu pihak yang bertanggungjawab menganjurkan program berkenaan, usaha menghimpunkan orang Melayu itu merupakan kali kedua diadakan. ''Kali pertama perhimpunan yang hampir serupa dianjurkan ialah ketika orang Melayu seolah-olah hilang arah selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 menyaksikan banyak kerusi yang sepatutnya menjadi milik Melayu tewas.

''Keadaan orang Melayu ketika itu terumbang-ambing. Tidak wujud satu titik pertemuan untuk dapat menstabilkan keadaan. Sehinggalah beberapa orang Melayu tampil dan mengadakan perhimpunan.

''Pada akhir resolusi, tertubuhlah Kesatuan Melayu Perak yang kemudiannya didaftarkan dengan nama GMP pada Mac 2009," katanya. Hari ini, setelah lebih setahun berlalu, masalah orang Melayu yang sering berpecah akibat perbezaan ideologi politik masih terus berlaku.

Keadaan itu jika dibiarkan, dilihat hanya merugikan bangsa kerana ia memberi ruang kepada pihak-pihak tertentu mengambil kesempatan menuntut pelbagai hak yang selama ini diertikan sebagai milik orang Melayu. Natijahnya, hak istimewa Melayu dalam semua bidang terus dipersoalkan. Kedudukan agama Islam sebagai agama rasmi masih diperkecilkan malah institusi kesultanan dan raja-raja Melayu semakin kerap dipersendakan.

''Kejujuran dan kesudian orang Melayu menerima kaum-kaum lain sebagai rakyat dan sama-sama merasai nikmat kemakmuran dan keamanan negara langsung tidak dihargai. ''Maka perhimpunan ini bertujuan mahu mengingatkan, menyedarkan dan menginsafkan orang Melayu sendiri bahawa kita ada hak dalam Perlembagaan dan hak-hak ini mesti dipelihara sampai bila-bila," katanya.

Untuk memastikan hak-hak tersebut tidak terus diganggu-gugat oleh pihak lain, kata Mohd. Hilmi, orang Melayu sendiri harus sanggup mengetepikan kepentingan diri untuk memastikan kuasa yang ada dapat dikekalkan. ''Usaha-usaha yang sedang dijalankan iaitu mencari titik pertemuan di antara UMNO dan Pas juga dilihat sebagai harapan kepada masa depan bangsa dan seharusnya mendapat maklum balas yang baik," kata beliau lagi.

Hakikatnya, Perlembagaan Malaysia mempunyai satu peruntukan khas di bawah Perkara 153 bertujuan memelihara orang Melayu serta bumiputera di Sabah dan Sarawak. Perkara inilah yang menjadi paksi Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang diasaskan oleh Allahyarham Tun Abdul Razak untuk memastikan keselamatan negara terjamin dan rakyatnya hidup dalam keadaan harmoni.

''Tetapi kaum-kaum bukan Melayu yang lebih beruntung hasil DEB langsung tidak menghormati matlamat dasar ini dan terus-menerus menidakkan hak dan peluang orang Melayu di tanah air sendiri. ''Oleh yang demikian, GMP mengajak semua orang Melayu tanpa mengira kedudukan dan fahaman politik untuk bersatu mempertahan dan memperjuangkan hak-hak orang Melayu," tegasnya.

Apa yang diharapkan Mohd. Hilmi ialah agar perhimpunan kedua yang diadakan di ketika orang Melayu terus bersengketa sesama sendiri ini akan dapat menghasilkan satu ikatan kukuh demi masa depan bangsa itu sendiri. Jika orang Melayu dapat meluangkan sedikit masa untuk sama-sama melontarkan buah fikiran, pandangan dan pendapat masing-masing, tidak mustahil perhimpunan ini bakal mencipta satu lagi sejarah bangsa agar Melayu hari ini tidak dipersalahkan atas kesengsaraan anak cucu nanti.

petikan dari akhbar utusan 15/07/2010

Presiden Gagasan Melayu Perak (GMP), Datuk Seri Mohd. Hilmi Ismail pula berkata, Pas perlu melupakan sengketa lama jika parti itu benar-benar mementingkan perpaduan dan kesejahteraan orang Melayu.

Katanya, tiada gunanya Pas terus bersikap memusuhi UMNO kerana ia hanya akan merugikan orang Melayu keseluruhannya dan umat Islam di negara ini.

Wednesday, July 14, 2010

Anda Semua Dijemput Hadir

PERHIMPUNAN MELAYU PERAK 2010

SABTU - 17HB JULAI 2010

ATURCARA

8.00 - 9.00pagi - Pendaftaran Peserta

9.00 - 9.15pagi - Ketibaan para jemputan

9.20pagi - Ketibaan YBhg Tan Sri Dato' Seri Hj. Harussani Hj. Zakaria, Mufti
Negeri Perak
Darul Ridzuan

9.30pagi - Perhimpunan dimulakan dengan lagu Negaraku

Bacaan Doa - Ustaz Hj. Yob Saaidin Md Ramin

Ucapan Aluan Pengerusi Perhimpunan Melayu Perak 2010 -
YBhg Dato Seri (Dr) Hj. Mohd Hilmi Hj. Ismail, Presiden Gagasan Melayu Perak (GMP)

Ucapan Perasmian dan Ceramah 1 : "Peranan Melayu Dalam Cabaran Islam Masa Kini. Oleh YBhg Tan Sri Dato' Seri Hj. Harussani Hj. Zakaria. Mufti Negeri Perak Darul Ridzuan

11.00pagi - Majlis Jamuan

11.30 - 12.30tgh - Ceramah 11 : Perlembagaan Persekutuan: Hak, Cabaran & Peranan Orang Melayu" Oleh YBhg Dato' Prof. Dr Hajjah Ramlah Adam, Dekan Fakulti Sains Pentadbiran & Kajian Polisi UITM

12.30 - 2.00ptg - Makan Tengahari & Solat

2.00 - 3.00ptg - Ceramah III:"Cabaran Perlembagaan Persekutuan (Per:153) Dalam Arus Politik Masa Kini" Oleh Encik Zainur Zakaria - Zainur Zakaria & Co.

3.00 - 4.00ptg - Ceramah IV:"Agenda Bumiputra: Menterjemah Aspirasi Menggalas Tanggungjawab" Oleh YBhg Dato' Halipah Esa Mantan Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi dan Pengarah MISC Berhad

4.00 - 5.00ptg - Rumusan oleh YBhg Dato' Sallehudin bin Saidin - Sallehudin & Associates

Minuman Petang

Majlis Bersurai




Monday, July 5, 2010

Gambar di majlis Presiden GMP bersama ibu tunggal

Dato Kamalia Naib Ketua Wanita Umno Malaysia turut hadir dan berucap



Hadiah -hadiah serta beras bagi membantu ibu-ibu tunggal



Dato Sri Hj Helmi Ismail sedang menyampaikan hadiah dan sumbangan







Bergambar bersama-sama ibu-ibu tunggal




Puan Aida telah menyumbang sebanyak RM1000.00 kepada Ibu-ibu tunggal